Berita
'Lamar' Mufti Perlis, Kak Ogy Dapat Jawapan Lepas 2 Bulan
Pelakon dan penerbit, Fauziah Ahmad Daud mendedahkan bahawa dia menunggu selama kira-kira dua bulan sebelum mendapat kata putus daripada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin untuk menyertai pementasan teater Korupsi Dewan Semandung.
Fauziah atau lebih dikenali dengan panggilan Ogy berkata, dia bersyukur apabila hasratnya untuk menampilkan tokoh ilmuwan agama dalam teater terbitannya itu disambut baik mufti tersebut.
"Saya merasakan beliau (Dr. Maza) boleh menyumbang sesuatu (dalam industri hiburan).
"Jadi, saya menghantar surat kepadanya pada November tahun lalu. Bagaimanapun, keputusan untuk menyertai itu hanya dijawab beliau pada dua minggu lepas (pertengahan Januari).
"Saya pun melonjak kegembiraan lepas dapat jawapan. Sebenarnya, naluri saya sendiri memang kuat mengatakan bahawa beliau akan bersetuju," katanya ketika ditemui sewaktu sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Ogy lagi, dia tertarik dengan pendekatan dan cara yang digunakan oleh mufti yang dikenali dengan panggilan Dr. Maza itu dalam menyampaikan dakwah.
"Apabila beliau mengkritik, saya dapat rasakan beliau seorang yang pandai berjenaka, tetapi apa yang diperkatakan itu berisi dan bukan jenis asal boleh.
"Ada yang beranggapan golongan ulama perlu ada jurang, tapi saya rasa kenapa perlu diwujudkan jurang dengan mereka. Bahkan, saya tertarik dengan cara beliau berkongsi mengenai agama Allah yang mana digambarkan bahawa Islam itu agama yang indah," katanya.
Selain Dr. Maza, teater yang diarahkan oleh Khir Rahman itu turut menampilkan pelawak terkenal antaranya Abam, Tauke, Vicha, Mark Adam dan Joey Daud.
Naskhah tersebut akan dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Februari ini.
Must-Watch Video