HIBURAN
Lancar ‘Imaginasi’, Anwar Amzah Tegaskan Kontroversi Lama Tak Jejas Fokus - “Itu Tuduhan Tak Betul…”
Pemuzik dan penyanyi, Anwar Amzah tampil menjawab persoalan sama ada kontroversi yang pernah mengaitkan namanya sebelum ini menjadi penghalang untuk terus maju dalam kerjaya muziknya.
Kekal professional, Anwar, 27, tidak pernah merasa terhalang untuk meneruskan kerjaya seninya walaupun pernah dikaitkan dengan tuduhan tidak berasas.
“Apa-apa kontroversi yang datang kepada saya, saya takkan halang perkara itu. Saya masih berjumpa rakan-rakan artis kerana industri kita kecil.
“Mana-mana pun jumpa dekat acara. Saya tak malu dan rasa tak terhalang pun dengan kontroversi itu,” ujarnya.
Anwar bekongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran lagu dan muzik video Imaginasi di ibu kota pada Selasa.
Tambahnya lagi, hubungan baik dengan ramai pihak dalam industri juga tetap diteruskan seperti biasa.
“Saya kawan dengan semua orang, dan kontroversi itu hanyalah tuduhan yang tak betul. Saya sangat profesional bila bekerja,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar pernah terpalit dengan kontroversi apabila didakwa mempunyai hubungan ‘istimewa’ dengan penyanyi terkenal, Ernie Zakri yang sudah pun bergelar isteri orang.
Tuduhan tersebut didakwa berpunca daripada spekulasi tidak berasas yang dikaitkan dengan warna pakaian mereka yang kebetulan sama.
Dalam perkembangan lain, Anwar Amzah baru sahaja melancarkan single terbaharunya bertajuk “Imaginasi”, yang menandakan permulaan fasa baharu dalam perjalanan muzik solonya.
“Saya ingin berkongsi sisi lain diri saya sebagai seorang penyanyi. Lagu Imaginasi adalah ekspresi perasaan saya, dan saya berharap pendengar dapat merasai emosi yang ingin saya sampaikan,” katanya mengenai karya baharu tersebut.
Single ini menampilkan gaya muzik yang menjadi identiti Anwar iaitu gabungan teknik fingerstyle pada gitar akustik dan elemen moden yang dekat dengan cita rasa generasi muda.
Video muzik Imaginasi juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Mask Team Official.
Must-Watch Video