Laman Utama

“Langkah Pertama Zina, Minuman ‘Najis’ Dicuba, Adakah Kalian Naif?” - Ustazah Asma’ Tak Kisah Dikecam Halang Pergi Konsert Bieber!

gempak
Hanafis Haris
04/04/2022
23:30 MYT
Sponsor Banner
“Langkah Pertama Zina, Minuman ‘Najis’ Dicuba, Adakah Kalian Naif?” - Ustazah Asma’ Tak Kisah Dikecam Halang Pergi Konsert Bieber!

Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun memberikan teguran berhubung konsert Justin Bieber yang bermula penjualan tiket beberapa hari lalu.

Menurut Asma’, fenomena penyanyi kelahiran Kanada itu membimbangkan dirinya setelah mendapat sambutan rancak daripada anak muda sehinggakan ada yang sanggup meminta duit daripada ibu dan mengambil upah melakukan pelbagai kerja demi hiburan.

Malah, Asma’ memohon kepada golongan ibu bapa untuk tidak memberi kebenaran kepada anak pergi ke tempat yang melalaikan.

Susulan daripada itu, Asma’ terus dikecam oleh sesetengah pihak yang mendakwa larangan itu agak melampau dan tidak berasas.

Tampil memperjelaskan pandangan itu, Asma’ menyatakan segala nasihat tersebut adalah untuk melindungi anak-anak daripada jalan yang salah.

“Ramai kecam juga dalam kalangan ibu ayah, katanya pergi bukan guna duit Ustazah pun, kenapa nak sibuk hal orang, dan lain-lain yang lebih pedih.

“Duhai ibu ayah, bukankah kalian yang selama ini berkata sayang pada anak-anak sampai Syurga dan berdoa untuk berkumpul disana.

“Bukankah kalian yang selalu inginkan anak-anak selamat daripada bahaya dunia, jika mereka sakit kalian tak tidur lena dan sanggup korban apa sahaja.

“Adakah kalian begitu naif bahawa suasana konsert sebegini akan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, kadang minuman najis berjaya dicuba, lebih jauh lagi ia boleh menjadi langkah pertama menuju kepada penzinaan.

“Suasana terkinja-kinja dan saling hilang kawalan diri, walaupun asalnya si anak ni seorang yang pemalu dan sopan, namun suasana sangatlah mempengaruhi seseorang, pakaian pula tak boleh dibayangkan, pasti akan disesuaikan dengan konsert supaya tak dilihat janggal.

“Bertemulah dengan kawan baru, sekelip mata no. tel saling bertukar, merasai nikmat kebebasan atas nama ‘sporting’ ibu ayah,” katanya.

Jelasnya, tiket sudah pun habis pun terjual dan satu konsert yang harganya sangat mahal begitu mendapat sambutan di negara Islam Malaysia.

“Selepas ini, nantikanlah konsert lain pula bakal menyusul, atas nama hiburan itu keperluan, maka suburlah budaya hedonisme.

“Terbentuk jelaslah generasi hamba hiburan, itulah nanti menjadi sumber pendapatan pihak penganjur yang tamak.

“Ini bukan doa atau sangka buruk, menulis daripada pengalaman menguruskan kes masalah sosial remaja dan penyesalan ibu bapa.

“Saya tak sedih dikecam dan dihina, siapa saya ni untuk dihormati dan dimuliakan, banyak kekurangan dan dosa sendiri yang lebih menjadikan diri ini hina.

“Kesedihan adalah apabila melihat sesuatu kemungkaran namun ramai yang berdiam,” katanya.

Anda boleh lihat posting penuh di bawah.

< Sekadar info, bintang pop terkenal Justin Bieber mengumumkan tarikh baharu konsert jelajah Justice World Tour yang akan diadakan di 20 buah negara tahun ini.

Bieber turut menyenaraikan mengadakan persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara pada 22 Oktober ini.

Difahamkan, tiket Bieber dijual pada Khamis lalu jam 11 pagi dan habis terjual dalam masa tiga jam.

BACA: Justin Bieber Bikin Konsert Di Malaysia Oktober Ini, Harga Tiket Dijual Serendah RM288?

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live