Pulau Langkawi dijangka akan membuka pintunya kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 bermula September ini.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pulau peranginan itu tidak akan menerima pengunjung yang tidak disuntik atau baru satu suntikan.

“Pelancong yang hendak masuk ke Langkawi perlu lengkap dua dos vaksin dan mereka yang tidak disuntik atau hanya menerima satu dos suntikan, tidak dibenarkan bercuti di Langkawi,” jelasnya.

Jelasnya lagi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah bersetuju untuk membekalkan vaksin mencukupi bagi memastikan 80 peratus penduduk pulau itu menerima suntikan vaksin sebelum kehadiran pelancong.

"Pihak MOSTI dan MOTAC bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada 61,000 penduduk Langkawi yang layak menerima vaksin.

"Ini bermakna, sebanyak 120,000 dos vaksin perlu dibekalkan kepada penduduk Langkawi sebelum dibuka kepada orang ramai.

Pihak kerajaan negeri Kedah yakin pembukaan Langkawi dalam tempoh dua bulan lagi akan memulihkan kembali sektor pelancongan di pulau itu.

"Hotel di Langkawi sangat tenat ketika ini, kita faham dan sangat bersimpati, kita nak mempercepatkan proses suntikan vaksin, sebab saya sendiri pun mahu ke Langkawi," katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 80 peratus penduduk Langkawi perlu mendapat suntikan vaksin bagi membolehkan gelembung perjalanan dilaksanakan di pulau itu apabila rentas negeri dibenarkan dan sempadan negara kembali dibuka pada September ini.