Usahawan Datuk Seri Vida (DSV)meluahkan rasa terkilan apabila ramai yang mengaitkan jalan cerita ditampilkan menerusi muzik video Hujan, nyanyian Iqbal Zulkefli dengan kisah peribadinya.

Vida berkata, umum mengetahui tentang kontroversi ‘kahwin tak jadi’ mereka, tetapi kisah itu tidak perlu dijaja semata-mata untuk meraih populariti.

“Ramai yang beritahu saya mengenai MV tersebut sebelum saya tengok sendiri. Bila dah tengok, saya sendiri tak sanggup nak habiskan.

“Walaupun watak wanita dalam MV tersebut diubah, tapi rasanya bila tengok memang orang boleh relate, tambah-tambah lagi bila orang dah dengar cerita plot twist dia dari awal (kontroversi) dulu,” katanya terkilan.

Dalam pada itu, DSV turut memuat naik kecaman yang diterimanya daripada warganet selepas MV tersebut hangat diperkatakan.

Katanya, putar belit cerita demi mencari populariti hanya menyebabkan maruah dirinya tercalar dan dibenci.

“Lapar nak popular? Populariti yang dicari dan diimpikan. Perlukah dengan menjatuhkan saya? Hati kering…sehinggakan perkara ini terbawa-bawa oleh netizen membenci saya.

“Mana tak, dimomokkan dengan cerita-cerita bohong demi meraih simpati dan gain popularity. Segala kebenaran diputar belit demi kepuasan sendiri.

“Bagaimana putar belit cerita yang telah didramakan boleh membersihkan nama dan maruah saya? Perlukah berdiam?” katanya.

Sehingga hari ini, MV Hujan telah ditonton hampir sejuta kali sejak ia dilancarkan bermula petang Isnin lalu.