HIBURAN
Latihan Pestapora Malaysia 2025 Umum 'Lineup' Fasa Satu, Artis Indonesia & Malaysia Bakal Kongsi Pentas!
Gabungan artis popular dari Indonesia dan Malaysia bakal menggegarkan pentas Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 26 Julai ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, festival ini merupakan ‘preview’ kepada Pestapora di Jakarta yang setiap tahun menerima kehadiran ribuan peminat dari Malaysia.
“Festival ini bukan sekadar acara hiburan biasa, sebaliknya menjadi medan kolaborasi budaya antara dua negara serumpun. Ia juga memberi peluang kepada peminat yang tidak dapat ke Jakarta untuk merasai sendiri pengalaman Pestapora di tanah air.
“Dalam masa sama, ia membuka peluang kepada artis kedua-dua negara untuk mempersembahkan karya kepada khalayak lebih luas dan mencipta momen baharu bersama peminat.
“Lebih 2,000 tiket sudah habis terjual walaupun belum umumkan barisan artis. Ini menunjukkan kepercayaan terhadap jenama Pestapora yang bukan sekadar konsert, tetapi gabungan muzik, seni dan budaya dalam satu festival,” katanya.
Dalam satu sidang media khas yang diadakan di The Campus, Ampang hari ini, pihak penganjur, Hitman Solutions dan Boss Creator dari Indonesia mengumumkan barisan pertama artis yang akan membuat persembahan dalam festival itu.
Antara nama besar dari Indonesia yang bakal membuat kemunculan sulung di Malaysia termasuk Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas.
Tidak kurang hebat, barisan artis tempatan seperti Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi turut bakal memeriahkan pentas, menjanjikan gabungan pelbagai genre muzik seperti pop, rock, alternatif, hip-hop dan indie.
Tiket Bermula RM129
Harga tiket bermula serendah RM129 untuk General Admission, RM199 untuk Rockzone, RM70 untuk Kanak-Kanak dan tambahan RM100 untuk akses Express Lane.Tiket boleh dibeli di laman web rasmi www.latihanpestaporamalaysia.com.
Must-Watch Video