BERITA
'Lawak Ke Der' Bikin Kejutan, Kisah Hans Isaac Jadi Bahan Usikan
Pementasan 'Lawak Ke Der' yang kembali semula ke Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam ini bakal membawa beberapa kejutan pada penonton.
Penyanyi popular, Datuk Zainal Abidin antara 'pelawak' yang akan tampil membuat jenaka di atas pentas kali ini!
Jika sebelum ini penyanyi lagu popular, Hijau ini muncul sebagai artis jemputan dalam program Bocey & Friends Live pada minggu lalu, kali ini beliau pula muncul dalam satu lagi persembahan pentas.
Datuk Afdlin Shauki memberitahu Astro Gempak, kehadiran Zainal pada pementasan kali ini menjadi tarikan pada penonton.
Malah, pelawak terkenal, Gurmit Singh yang popular dengan imej Phua Chu Kang turut muncul membuat persembahan 'stand up' komedi.
"Zainal seorang penyanyi tapi kelakar orangnya. Beliau akan membuat 'stand up' komedi dan menyanyi.
"Persembahan kali ini lebih pada muzik yang mengajak orang ramai menyanyi bersama," katanya.

Ujarnya, ada beberapa kejutan akan dipersembahkan dalam pementasan malam ini yang akan diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula jam 9 malam.
"Idea untuk persembahan kali ini, saya memilih 'current event' iaitu perkara yang saya lalui atau pernah nampak untuk dijadikan elemen 'stand up' seperti kenapa Datuk Hans Isaac tak kahwin lagi," katanya.
Afdlin berharap pementasan selama dua hari ini menjadi persembahan yang menarik dan menghiburkan buat penonton yang merindui kemunculan mereka semula.
Selain Zainal, Gurmit dan Afdlin, persembahan ini juga disertai kumpulan Shiro, Sherry Al-Hadad dan Shuk.
Datuk Hans Isaac pula bertindak sebagai produser dan pengarah persembahan kali ini.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Must-Watch Video