Laman Utama
Lebaran Bakal Tiba, Poova Tampil Dengan Bersama Di Hari Raya
Penyanyi yang pernah dipuji bakatnya oleh penyanyi terkenal antarabangsa, Michael Bolton, dalam program pencarian bakat Asian Dream, Poova, kembali memeriahkan bulan Ramadan pada tahun ini dengan lagu berjudul Bersama Di Hari Raya.
Menurut Poova, dia berasa berbesar hati dapat menyanyikan semula lagu ‘Bersama Di Hari Raya’ yang pernah dipopularkan oleh kumpulan adik-beradik terkenal 80-an, Helen dan Irene Savari iaitu Cenderawasih.
“Ini merupakan kali pertama Poova menyanyikan lagu Raya, sebenarnya sudah lama Poova teringin menyanyikan lagu sebegini bagi memeriahkan bulan puasa dan sebagai persediaan menyambut Hari Raya yang bakal diraikan kelak.
“Poova sengaja memilih Bersama Di Hari Raya kerana ingin mengembalikan nostalgia zaman-zaman dulu di mana penyanyi bukan Melayu turut menyanyikan lagu Raya, dan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana mencadangkan lagu ini.
“Selain itu, Poova turut menyanyikan lagu tersebut dengan cara yang tersendiri namun masih mengekalkan identiti asalnya,” ujarnya
Tambah Poova lagi, dia juga berharap lagu dendangannya sedikit sebanyak dapat memeriahkan hari raya pendengar.
“Diharapkan semua terhibur dengan dendangan Bersama Di Hari Raya yang Poova bawakan dan semoga kita dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga tersayang,” katanya.
Must-Watch Video