Nilai aktres kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh masih mahal dalam industri seni antarabangsa walaupun usianya sudah mencecah 58 tahun.

Selepas mempersona peminat dengan penampilannya dalam Star Trek: Discovery, Michelle Yeoh siap 'menyihir' penonton menerusi projek terbaharunya, The Witcher: Blood Origin.

Pembabitannya dalam The Witcher: Blood Origin yang merupakan adaptasi dari tulisan novel Andrzej Sapkowski diumumkan Netflix, semalam.

Menurut pengumuman, aktres tersebut akan memainkan peranan ahli sihir bernama Scian yang dalam misi membawa pulang pedang suci yang telah dilarikan. Dalam misinya, tak ada yang mampu mendekati Scian.

Ikut menyertai Michelle Yeoh dalam naskhah yang berlatar belakangkan dunia elven 1,200 tahun lampau adalah Laurence O’Fuarian sebagai Fjall.

Berita sama turut dikongsikan Michelle Yeoh dalam akaun Instagram peribadinya yang memetik sedikit laporan daripada Deadline.

Meski demikian, naskhah ini dipercayai masih belum siap untuk ditayangkan. Netflix juga difahamkan akan mengumumkan barisan pelakon lain yang bergabung di The Witcher: Blood Origin dalam masa terdekat.

The Witcher: Blood Origin akan menceritakan kisah yang hilang dari masa ke masa termasuk penciptaan prototaip pertama Witcher.

Sementara itu, ini bukan satu satunya naskhah yang akan dibintangi pesohor ini.

Legenda yang cukup terkenal dengan kemahiran aksi lagaknya ini juga dilaporkan akan muncul dengan beberapa naskhah lain termasuk sekuel Avatar arahan James Cameron dan karya terbaharu Marvel.

Kredit Foto: Netflix