BERITA
Lelaki Bunuh Isteri, Dua Anak Kerana Anime One Piece
Seorang lelaki yang disyaki membunuh isterinya yang sedang hamil mengaitkan tindakannya dengan anime popular Jepun, One Piece.
Suspek, Julius, 33, didakwa menetak isterinya dan dua anak masing-masing berusia lima dan empat tahun sehingga maut di rumah mereka di Kampung Punan Mahakam, Kabupaten Berau, Kalimantan Timur, pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Berau, AKP Agung Jaya berkata, hasil siasatan awal polis mendapati suspek memberi alasan yang dianggap pelik apabila mengaitkan tindakannya dengan anime popular Jepun, One Piece.
Menurutnya, pengakuan tersebut dibuat semasa Julius disoal siasat, namun kenyataannya tidak konsisten dan bercampur aduk.
“Dalam keterangannya, dia mendakwa dimarahi One Piece kerana tidak mempunyai syarat untuk menjalani kehidupan seperti dalam anime itu.
“Kenyataan ini membuatkan kami menilai kemungkinan pelaku mengalami gangguan mental,” katanya seperti dilapor Detik.com.
Rakaman video pengakuan suspek turut tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi masyarakat.
Ketua Unit Siasatan Polis Berau, Iptu Ridwan berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur pertelingkahan atau masalah rumah tangga besar yang boleh mendorong pembunuhan.
“Setakat ini, motif sebenar belum dapat dipastikan. Pelaku sudah dibawa ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Abdul Rivai untuk pemeriksaan psikiatri,” jelasnya.
Menurut polis, Julius dan isterinya telah berkahwin beberapa tahun lalu, manakala kedua-dua anak mereka masih kecil dan bersekolah di kampung.
Media tempatan melaporkan, semasa kejadian, jiran mendengar jeritan sebelum menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah.
Mayat ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat, manakala lokasi kejadian dipasang garisan polis bagi siasatan lanjut.
Polis juga merampas senjata yang digunakan suspek untuk dijadikan bahan bukti.
Kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang jenayah berat Indonesia dengan kemungkinan hukuman mati sekiranya didapati bersalah.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video