Seorang ustaz yang juga penceramah bebas ditahan semalam, dipercayai mencabul ahli perniagaan lelaki yang baru dua hari dikenalinya, dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan.

Suspek berusia 32 tahun ditahan jam 3 petang di pondok tempatnya mengajar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata mangsa berusia 30 tahun dikatakan keluar dengan suspek menaiki kereta dipandu suspek, malam kelmarin.

"Lebih kurang 1.15 pagi semalam, suspek menghantar mangsa ke sebuah bilik hotel dan ketika berada di hotel berkenaan, suspek didakwa mencabul mangsa dengan mencium pipi dan meraba kemaluan mangsa.

"Menurut mangsa, suspek turut menggeselkan kemaluannya ke peha mangsa. Susulan kejadian itu, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek membuat laporan polis.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk pemeriksaan," katanya.

Shafien berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa yang belum berkahwin baru mengenali suspek dua hari sebelum kejadian, ketika berada di sebuah pasar raya di sini.

"Menurut mangsa, sebelum kejadian suspek menghubunginya dan mengajak mangsa keluar minum bersama sebelum berlakunya kejadian itu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Sumber: Berita Harian
Foto hiasan: Carian Google