Seorang lelaki yang tular kerana bertindak kejam membunuh tiga ekor kucing dengan meletakkan haiwan itu di dalam mesin basuh di kedai dobi di Kepong telah direman.

Perkara tersebut disahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor pada Selasa.

Beliau berkataJabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor telah menahan orang yang disyaki pada jam 12.15 tengah malam Isnin lalu.

Menurutnya, Mahkamah Selayang membenarkan perintah reman ke atas lelaki tersebut selama empat hari bermula semalam hingga 16 Julai ini.

“Barang kes iaitu tiga kucing tersebut telah diambil oleh Pegawai Penyiasat untuk dihantar ke Makmal Veterinar Salak Tinggi bagi tujuan bedah siasat.

[[BACA: Kejamnya... Lagi Kes Bunuh Kucing Masuk Dalam Mesin Basuh!]]

“Siasatan dijalankan di bawah Subseksyen 29(1)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], iaitu dengan kejamnya menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya ke atas tiga ekor kucing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tindakan tidak berperi kemanusiaan lelaki tersebut terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai dobi Aman Puri, Kepong tersebar.

Sumber: Sinar Harian