Seorang lelaki terkejut apabila temui bayi baru dilahirkan ditinggalkan di sebuah gerai jualan di Batu 5, Jalan Tengah Nipah, Kampung Jaya Baru, Lahad Datu, Sabah semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, bayi berkenaan ditinggalkan dalam keadaan tidak berpakaian dan masih mempunyai tali pusat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, bayi tersebut telah ditemui oleh pemilik gerai berusia 30 tahun.

Katanya, lelaki terbabit kemudian menghubungi polis dan pihaknya terus mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Bayi seberat 2.9 kilogram itu ditemui ketika lelaki terbabit baru saja melakukan persiapan untuk membuka gerai miliknya.

“Bayi terbabit terus dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Sehubungan itu, Rohan Shah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ditalian 089-881255.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Marlisa Maedika @ Merdeka di talian 016-2194554.