Laman Utama
Lepas Bersalin Dalam Lif, Wanita Ini Buang Bayinya Dalam Tong Sampah
Seorang wanita di China menerima kecaman yang teruk dan menimbulkan kemarahan netizen selepas membuang bayi yang baru sahaja dilahirkan dalam tong sampah.
Insiden bermula apabila rakaman CCTV menunjukkan wanita tersebut membawa satu bagasi ke dalam lif di sebuah kediaman yang terletak di Chongqing.
Beberapa saat kemudian, dia dilihat membongkok dan menarik satu tubuh bayi keluar daripada bahagian bawah kaki seluarnya.
Wanita itu kemudian dengan tenang menggunakan tisu untuk mengelap darah dari bayi berkenaan, pakaiannya dan juga lantai lif.
Apabila ada orang lain memasuki lif yang sama, wanita tersebut menyembunyikan bayi yang baru lahir itu di sudut untuk mengelak daripada dilihat.
Selepas beberapa minit bersalin, wanita tersebut menarik bagasinya lalu membuang bayi tersebut ke dalam tong sampah. Bayi yang dibuang itu ditutup dengan tisu.
Pada ketika ini seorang wanita tua yang perasan kelakuan aneh wanita itu berhenti di jejaknya tetapi tidak melihat bayi itu di dalam tong sampah.
Bayi berkenaan bernasib baik kerana dia dijumpai oleh penghuni kediaman berkenaan dan membawanya ke hospital.
Memetik South China Morning Post, pengawal hospital berkenaan memberitahu yang wanita tersebut merupakan pelancong yang datang melawat ke Chongqing.
“Dia dan pemandu pelancong datang ke hospital kami untuk mengambil bayi itu. Anggota polis juga datang untuk mengambil keterangan daripada wanita itu untuk mengetahui sebab dia melakukan perbuatan tersebut,” kata pengawal keselamatan hospital berkenaan.
Doktor dari hospital sama berkata, bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan telah pun dibawa pulang.
“Bayi berkenaan telah dibawa pulang oleh ibu bapanya. Ketika berada di hospital, bayi itu telah dijaga oleh ibu dan neneknya,’ kata doktor tersebut.
Siasatan polis sedang dijalankan tetapi masih tidak jelas sama ada wanita itu akan menerima sebarang hukuman atau tidak.
Sumber: SCMP
Must-Watch Video