Penyanyi kecil molek Lesti Kejora yang sebelum ini ‘hilang’ atau berehat dari muncul di kaca televisyen selepas isu dirinya dipukul suami, Rizky Billar, siap kembali bertemu penonton.

Lesti dipastikan akan kembali menemui penonton menerusi majlis ulang tahun ke-28 Indosiar pada bulan Januari 2023.

Indosiar yang merupakan saluran tv yang melahirkan penyanyi tersebut dalam program realiti dangdut itu juga memberikan segmen khusus untuk Lesti meluapkan isi hatinya di atas panggung.

Malah Pengarah Program SCM, Harsiwi Achmad dalam kenyataannya mengatakan pihak Indosiar memberi ruang kepada Lesti kembali ke kaca tv selepas penyanyi tersebut memutuskan untuk berehat beberapa bulan lalu.

Menyifatkan Lesti sebagai sebahagian keluarga, Harsiwi mengatakan akan mengangkat kembali karier penyanyi itu selepas insiden dipukul suami.

"Lesti anggota keluarga kita, dilahirkan di sini, beri warna di sini dengan suara yang indah dan merdu dengan tingkah laku tabiat dan gestur yang dicintai masyarakat.

"Tentunya Lesti menjadi anak kami. Perjalanan hidup naik turun problem itu wajar tidak mungkin kehidupan mulus, akan ada naik turun,”katanya seperti dilaporkan Detik.com.

Harsiwi bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada Rizky Billar akan turut comeback.

“Tentang sama ada Rizky akan comeback juga, itu belum diputuskan kerana mengaitkan banyak pihak,” katanya.

Terdahulu netizen sempat melakukan petisyen menghalang pasangan selebriti tersebut untuk muncul lagi di tv kerana disifatkan menjadi teladan tidak baik kepada masyarakat sekaligus menjadikan isu kekerasan dalam rumah tangga sebagai normal.

Hal itu lantaran Lesti menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap Rizky selepas mendakwa dipukul termasuk dicekik dalam pergaduhan beberapa bulan lalu.

Lesti juga memaafkan perbuatan kasar Rizky dengan mengatakan masa depan anak sulung mereka sebagai sebab dia mahu meneruskan pernikahan bersama lelaki tersebut.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.