Anggota kumpulan Blackpink, Lisa dinobatkan sebagai individu dengan wajah tercantik di dunia pada tahun 2021, menurut senarai yang dikelolakan oleh TC Candler baru-baru ini.

Model dari Israel, Yael Shelba yang mengungguli tangga teratas pada tahun lepas jatuh ke anak tangga keenam, manakala Lisa naik satu anak tangga dengan menduduki tangga kedua pada 2020.

Penulis blog dari Norway, Emilie Nereng diletakkan di tangga kedua manakala model Amerika-Somali, Halima Aden selesa di tangga ketiga.

Diikuti dengan pelakon berdarah kacukan Filipina-Maghribi, Ivana Alawi di tangga keempat dan ditangga kelima pula diisi oleh anggota kumpulan Momoland, Nancy.

Antara individu popular lain yang tersenarai termasuklah anggota kumpulan Twice, Tzuyu di tangga ke-7, pelakon Gal Gadot (15) dan Rose Blackpink (17).

Untuk rekod, Lisa atau nama sebenarnya, Lalisa Manobal, 24, muncul dengan album single perdananya, Lalisa pada 10 September lalu.

Klip video bagi lagu Lalisa pula menerima jumlah tontonan sebanyak 73.6 juta pada hari ia dilancarkan, menjadikan klip video berkenaan sebagai klip video paling banyak ditonton dalam masa 24 jam.

Lisa merupakan idol kelahiran Thailand dan mula dikenali sebagai selebriti selepas debut bersama kumpulan Blackpink pada tahun 2016.

TC Candler, laman web pengkritik filem telah mengelolakan rangkuman senarai individu dengan wajah cantik dan kacak sejak tahun 1990.