Gaya Hidup
Liyana Jasmay Makan Nasi Segunung Untuk Tambah Susu Badan
Pelakon Liyana Jasmay mengakui mengambil nasi dalam 'portion' yang banyak untuk menambah susu badan.
Liyana Jasmay yang mudah disapa sebagai LJ berkata, sebagai seorang ibu yang mementingkan penyusuan ibu kepada kedua-duanya anaknya iaitu Sofia Arissa, 2, dan Selena, 3 bulan, dia perlu memastikan susu badannya sentiasa cukup.
Baginya susu ibu adalah pemakanan terbaik untuk anak-anak dan penting untuknya mengamalkan pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat.
Advertisement
"Untuk menghasilkan susu yang berkualiti dengan kuantiti yang banyak, saya mengamalkan pemakanan yang tertentu sejak kelahiran anak sulung," katanya.
Lima tips yang dikongsi LJ kepada para ibu yang menyusu badan secara ekslusif:
1. Nasi
“Saya tiada tips yang spesifik tapi apa yang saya perhatikan, jika saya makan nasi dengan banyak saya dapat menghasilkan susu yang lebih untuk diberikan buat anak saya. Saya akui nasi yang saya makan sekarang lebih daripada dulu masa saya bujang. Boleh dikatakan bila ambil nasi tu sampai segunung tingginya atas pinggan.
2. Minuman bergandum
“Saya banyak minum minuman bergandum atau berbijirin seperti Milo atau Horlicks. Tapi untuk saya, saya perasan jika saya minum banyak Horlicks, susu saya seperti bertambah. Jadi saya perlu amalkannya setiap hari.
3. Sayur
“Apa-apa pun sebagai seorang ibu, kita perlu makan makanan yang sihat dan berkhasiat untuk memberikan susu yang kualiti dan dalam masa yang sama menjaga kesihatan. Jadi saya banyak makan sayur dalam pemakanan saya setiap hari kerana ia juga membantu untuk menambah susu badan.
4. Makanan berprotein tinggi
“Selain memberikan tenaga, ayam dan daging baik untuk diet sihat ibu-ibu yang menyusu. Ayam dan daging mengandungi protein yang sangat tinggi dan ia baik untuk tambah susu badan.
5. Minum air kosong yang banyak
“Air benda paling penting untuk tubuh badan kita terutama bagi ibu yang menyusu. Minum air yang banyak untuk menggantikan air yang hilang dalam badan sewaktu menyusukan bayi.
Artikel Oleh: Syafiqah Jalal
Must-Watch Video