Berita
"Lu Kena Sayang Ini Barang, Ramai Orang Nak Masuk Bidang Ini Tapi Bukan Semua Dapat" - Amy Search Kongsi Pengalaman Dengan Saleem
Vokalis kumpulan rock lagenda, Amy Search mengakui sedih dengan kehilangan rakan seperjuangannya iaitu penyanyi Saleem.
Menerusi entri di Instagram (IG), Amy berkongsi kisah perbualannya bersama Saleem ketika sama-sama mengharungi kehidupan sebagai anak seni.
"Aku nak cerita sikit kenangan aku dengan arwah Saleem. Dua kali kita orang bersama satu dalam lagu Isabella 98 dengan 4 penyanyi digabungkan Jamal Abdillah, Zamani dan arwah Saleem.
"Lepas tu kita bergambung lagi ats usaha Warner dalam lagu Sesat Di Kuala Lumpur untuk album beliau Epigoni. Gambar ni menjadi kenangan. Aku ingat lagi dia berkunjung ke rumah aku. Kalau tak salah aku sebelom kita rakam lagu Sesat di Kuala Lumpur.
"Kite orang bercerita tentang kehidupan kita orang lalui. Aku cakap dengan dia, kita sama-sama budak kampung datang Kuala Lumpur bawa impian nak jadi artis popular tapi bila dah jadi tentu ada yang lagi besar yang kita nak bikin di depan.
"Itu hanya lu saja yang tahu. Tapi lu kena banyak bersyukur sebab Allah makbulkan impian lu. Lu kena sayang ini barang. Ramai orang nak masuk ini bidang tapi bukan semua dapat pijak ini padang. Ada yang dapat tapi terkena penyakit kejutan budaya dan mula sesat di Kuala Lumpur.
"Kita kena sayang ini barang. Kita sama-sama bikin nama di benua Nusantara. Selepas lagu Isabella dan Cinta Kita (Fantasia Bulan Madu) bikin major hits di Indonesia, Suci Dalam Debu menyusul degan major hits juga. Aku cakap lu tentu ada lagi statement yang lu mau bikin atau lu rasa lu rasa apa lu dah puas hati.
"Riaksi arwah sangat fokus dengan apa yang aku cakap sambil angguk kepala. Seblum nak balik aku pesan lagi sambil ketawa, bro lu ingat kita budak kampung datang Kuala Lumpur nak jadi star. Semua ini Allah yang bgi kita.
"Bersyukur saje. InsyaAllah kita dapat pelayaran yang indah tapi yang indah tentu datang bersama dugaan. Kita tempuh dengan tenang saja bro. Begitulah kenangan aku dan arwah Saleem dapat luang masa yang panjang sepanjang karier dia. Moga Allah ampuni segala dosa dan cucuri rahmat ke atas roh nya. Ameen. Alfatehah," tulisnya.
Di ruangan komen, netizen turut sama bersedih dan menganggap pemergian Saleem sebagai satu kehilangan besar dalam industri muzik tanah air.
Saleem atau nama sebenarnya AM Salim Abdul Majeed meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras kira-kira jam 6.30 pagi semalam.
Penyanyi yang berasal dari Setiu, Terengganu ini menerima rawatan di PPUKM ekoran terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 20 September lalu.
Must-Watch Video