Laman Utama
Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! Beri Kelainan, Nabil Ahmad Selebriti Pertama Hasilkan Animasi Kisah Kehidupan Sendiri
Pelawak dan pelakon, Nabil Ahmad muncul dengan animasi pendek terbitan Astro dan Ed Online Technologies Sdn Bhd berjudul Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!
Siri animasi bersama Nabil ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia dan juga kesinambungan kepada musim pertamanya yang telah mendapat sambutan baik penonton.
Menurut Nabil, dia mengambil inisiatif untuk muncul dengan siri animasi kerana ingin memberikan sedikit kelainan.
“Saya memilih untuk menghasilkan animasi ini kerana ingin mencari kelainan. Bagi saya, filem pendek dan rancangan realiti itu sudah agak biasa.
“Lantas, tujuan utamanya adalah untuk menjadi selebiriti pertama yang mempunyai animasi tersendiri.
“Jika kita mahu mengikut dunia digital pada zaman sekarang ini, sudah terlalu banyak animasi dan kartun-kartun yang dikeluarkan dari segi penceritaan yang moden.
“Tetapi tidak ramai selebriti-selebriti yang mendapat peluang untuk membuat animasi berdasarkan kehidupan mereka sendiri.
“Oleh itu, saya sangat teruja dan bersyukur di beri peluang oleh Astro sendiri untuk menjadi selebriti pertama yang menghasilkan animasi sendiri.
“Menerusi kali ini, saya ingin menunjukkan yang di mana-mana situasi pun, kebenaran akan terungkap.
“Tiada apa yang terlalu serius. Ini juga sebenarnya adalah untuk keseronokan dan hiburan sahaja.
“Saya berharap agar suatu hari nanti, kita akan ada Lu Pikir La Nabil The Movie yang akan ditayangkan diseluruh pawagam atau di saluran Astro First, Insya-Allah. Saya juga berharap agar penonton terhibur dengan penceritaannya,” jelasnya.
Siri mini animasi ini juga mengekalkan tempo penceritaan padat dengan pengisian-pengisian yang boleh dijadikan pengajaran bagi seisi keluarga.
Animasi bergenre komedi keluarga ini merupakan arahan juruanimasi berpengalaman, Syukur Majid dengan idea asalnya oleh Nabil yang turut beraksi sebagai pelakon suara bagi watak utamanya.
Animasi ini turut didukung oleh barisan pelakon suara seperti Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof, iaitu kawan baik Nabil dari kecil yang dijemput khas untuk membuat alih suara bagi watak Fahmi dan Mok serta Amanda Amry, pelakon yang sedang meningkat naik.
Saksikan Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! musim kedua, setiap Khamis, jam 10.00 malam Astro Warna HD (saluran 107).
Manakala siaran ulangan pula di Astro Ceria HD (saluran 611) pada setiap Ahad, jam 3.00 petang.
Animasi ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Sinopsis:
Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! mengambil latar belakang kampung Nabil sewaktu kecil iaitu di Kampung Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan
Animasi lima episod pendek yang berdurasi tujuh hingga sebelas minit ini mengisahkan Nabil, seorang kanak-kanak yang penuh dengan angan-angan dan seringkali menimbulkan kekecohan di kampungnya dengan tidak sengaja.
Disebabkan itu, dia berdepan dengan pelbagai masalah, tambahan pula dengan kehadiran budak baharu bernama Syasya sehingga menggugat persahabatan dengan kawan-kawan karibnya, Mok serta Fahmi.
Hidupnya serba tidak kena dengan pelbagai masalah yang timbul ketika Ramadan yang mengakibatkan kekecohan berlaku ketika sambutan Hari Raya dikampungnya.
Must-Watch Video