HIBURAN
Lucidrari Tidak Anggap Diri Sebagai Artis Mainstream - “Lirik Saya Bukan Untuk…”
Penyanyi HipHop, Lucidrari akui dia tidak menganggap dirinya sebagai artis mainstream hanya kerana lagu-lagunya mendapat sambutan ramai.
Menurut Lucidrari atau nama sebenarnya, Putera Haika, 26, karya yang dihasilkan tidak dibentuk mengikut piawaian yang sepatutnya tetapi menampilkan lirik-lirik jujur yang dekat dengan kehidupan sebenar.
“Saya bukan artis mainstream. Lagu saya popular sangat sampai orang ingat saya artis mainstream.
“Kenapa saya cakap macam tu? Sebab lagu-lagu yang saya buat, lirik-lirik yang saya hasilkan bukan untuk mainstream.
“Saya cakap benda-benda yang real, guna bahasa-bahasa pasar,” katanya kepada Gempak.
Lucidari berkata demikian ketika ditemui di Showcase Inilah Kita yang berlangsung di Pavillion Kuala Lumpur baru baru ini.
Tambahnya lagi, dia juga mengakui zaman sekarang telah banyak berubah malah platform media sosial kini menjadi medium utama untuk mempromosikan lagu dalam kalangan generasi muda.
“Sekarang kita ada TikTok, Instagram platform-platform ni yang buat lagu-lagu saya jadi relevan.
“Saya memang tak pernah bergantung pada TV atau stesen radio untuk mempopularkan lagu saya,” jelasnya.
Bagi pelantun lagu Lowkey itu, penerimaan orang ramai terhadap lagu-lagu yang dihasilkan membuktikan industri muzik kini semakin terbuka menerima karya pelbagai gaya.
“Perasaan saya bila orang mula terima lagu-lagu macam ni, saya rasa inilah bukti zaman dah berubah.
Sekarang zaman generasi baru, dan beginilah cara artis-artis baru mempromosikan lagu mereka,” ujarnya.
Must-Watch Video