Sekilas
- Nelysa Kay mengakui gementar dan pernah meragui diri sendiri ketika memegang watak utama wanita pertama dalam drama muzikal S.O.S yang penuh dengan babak berat dan konflik.
- Dia menjelaskan babak menyanyi dan menari lebih mudah berbanding adegan menangis yang memerlukan perubahan emosi secara cepat dan mendalam.
- Drama S.O.S yang mengangkat tema persahabatan, percintaan dan tekanan hidup pelajar universiti akan disiarkan mulai 18 November di Astro Ria dan platform digital lain.
Penyanyi dan pelakon Nelysa Kay mengakui gementar sehingga pernah meragui kemampuan sendiri ketika menerima watak utama wanita buat kali pertama menerusi drama muzikal S.O.S (School of Stars).
Naib Juara Dewi Remaja 2025 itu berkata, watak sebagai Putri itu mempunyai banyak konflik yang memerlukannya menjayakan babak berat.
“Ini watak utama wanita pertama saya untuk S.O.S. Sudah tentu saya sangat gementar dan ketika sesi pembacaan skrip, saya meragui diri sendiri.
“Drama ini dekat dengan saya kerana ada nyanyian, tarian dan berkaitan seni persembahan. Tetapi pada masa sama, Putri mempunyai banyak konflik.
“Banyak babak berat membuatkan saya sangat gementar hendak masuk set. Bagaimanapun, barisan pelakon banyak membantu sepanjang penggambaran,” katanya.
Menurut Nelysa, babak menyanyi dan menari lebih mudah dijayakan berbanding adegan menangis yang memerlukan perubahan emosi dalam masa singkat.
“Bagi saya, bahagian paling mudah ialah babak menyanyi dan menari, tetapi paling berat ialah babak menangis.
“Walaupun dramanya ringan, watak Putri mempunyai banyak konflik. Saya akan buat satu babak manja dan gedik, kemudian babak seterusnya terus kena menangis.
“Menangis itu bukan sekadar sedih, tetapi lebih kepada tekanan dan keresahan, sesuatu yang saya sendiri lalui dalam kehidupan sebenar juga,” ujarnya.
Katanya, suasana penggambaran yang menyeronokkan turut menjadi cabaran apabila dia perlu bersedia untuk adegan beremosi.
“Memang mencabar sebab sekejap saya kena gembira, sekejap lagi kena resah.
“Di set pula saya sangat seronok. Saya asyik ketawa, tiba-tiba pengarah kata, ‘Okey, sekarang babak menangis.’ Jadi begitulah,” katanya sambil ketawa.
Dalam masa sama, Nelysa menghargai bantuan rakan pelakon, Evertts Gomes yang membimbingnya supaya lebih terbuka meluahkan emosi ketika berlakon.
Menurutnya, dia terbiasa memendam perasaan, berbeza dengan Putri yang perlu memperlihatkan keresahan kepada penonton.
“Watak itu mempunyai banyak keresahan. Saya sendiri ada keresahan juga, tetapi sedikit berbeza. Saya tidak sampai tahap meluahkan perasaan kerana saya jenis yang selalu simpan semuanya dalam hati.
“Tetapi untuk berlakon, sudah tentu kita kena tunjukkan emosi. Perkara yang saya tidak biasa ialah melepaskan emosi.
“Sebab itu apabila Evertts membantu, dia kata, ‘Awak kena jujur dengan perasaan. Awak tak boleh tahan-tahan. Awak dah sedih, dah resah, tetapi awak simpan perasaan itu di dalam,’” jelasnya.
Pengalaman tersebut membuatkan Nelysa menyifatkan penggambaran S.O.S sebagai ruang pembelajaran buat dirinya.
“Keseluruhan proses penggambaran itu ibarat kelas lakonan yang besar untuk saya, memandangkan ini kali pertama memegang watak utama.
“Pengarah kami, Abang Imri dan semua pelakon lain sangat banyak membantu,” katanya.
S.O.S diterbitkan Red Communications Sdn. Bhd. dengan Lina Tan sebagai penerbit dan diarahkan Imri Nasution.
Berlatarbelakangkan kehidupan pelajar universiti, drama tersebut mengetengahkan persahabatan, percintaan dan persaingan mengejar impian dalam dunia muzik.
Dengan muzik berinspirasikan K-pop, siri itu turut menyentuh isu keyakinan diri, kesihatan mental, buli serta tekanan memenuhi jangkaan orang sekeliling.
Selain Nelysa dan Evertts, drama tersebut dibintangi Daniel Fong, Alvy Joanna, Faiz Najib, Adlin Aman Ramlie, Emelda Rosmila dan Rashidi Ishak.
Siri lapan episod itu bersiaran mulai 18 November ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di Astro Ria, saluran 104.
S.O.S turut boleh ditonton menerusi Astro GO, On Demand dan sooka.