Persoalan siapa aktor yang akan menggantikan Johnny Depp sebagai Gellert Grindelwald dalam Fantastic Beasts 3 akhirnya terjawab.

Kelmarin, pihak Warner Bros mengesahkan posisi itu akan digantikan aktor berkaliber,
Mads Mikkelsen.

Mikkelsen sendiri bukan pertama kali terbabit dengan filem blockbuster. Kewibawaannya selalu digunakan dalam banyak filem gred A termasuk membintangi filem Rogue One: A Star Wars Story, Doctor Strange, Casino Royale, serta The Hunt.

Dalam kebanyakan aksinya, beliau juga sering memainkan karakter antagonis. Lantaran itu banyak yang beranggapan pemilihan Mikkelsen dianggap sangat sesuai membawa watak Grindelwald yang juga karakter antagonis.

Menurut laporan Fox News, Mikkelsen menghadiri uji bakat yang dijalankan pihak produksi seminggu selepas Warner Bros mengumumkan pengguguran nama Johnny Depp dalam francais filem tersebut.

Fantastic Beasts 3 kini menjalani penggambaran di luar London. Ia direncana akan dipasarkan secara global pada 15 Julai 2022.



Sebelumnya, tindakan Warner Bros memecat Depp daripada filem ini selepas beliau kalah kes saman sebuah akhbar yang mendakwa dirinya mengasari bekas isteri, Amber Heard adalah benar.

Keputusan tersebut telah membuat peminat Depp dan filem ini membuat petisyen untuk membawa kembali aktor kesayangan mereka masuk ke Fantastic Beasts atau ia berhadapan aksi boikot.

Kredit Foto: EW.com