BERITA
"Mahal Surat Ni, Kena Frame" - Mat Dan Jumpa Surat Berusia 30 Tahun, Kiriman Daripada...
Pelakon dan pengacara Mat Dan berkongsi pengalamannya apabila terjumpa sepucuk surat yang sudah berusia 30 tahun.
Lebih istimewa lagi, surat yang ditulis menggunakan mesin taip itu dikirimkan oleh bekas pemimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1990 yang ketika itu merupakan Perdana Menteri.
Mat Dan atau nama sebenarnya, Mohammad Kareef Daniel Abdullah, 31, berkata, surat itu ditemui ketika mengemas rumah arwah bapa mentuanya.
"Tengah kemas rumah arwah bapa mentua di Terengganu terjumpa surat ini daripada @chedetofficial tahun 1990!!," kongsinya menerusi satu entri di Instagram.
Dalam surat bertarikh 1 November 1990 itu, terpapar nama bapa mentuanya, Wan Adnan Idris sebagai penerima yang beralamat di Ladang Titian, Kuala Terengganu.
Antara inti pati surat berkenaan ialah ucapan terima kasih daripada Mahathir mengenai sokongannya terhadap parti memerintah ketika itu sehingga mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Surat tersebut juga turut mempunyai tanda tangan peribadi daripada individu yang pernah menjadi pemimpin negara sebanyak dua kali dalam sejarah Malaysia.
Di ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan surat tersebut sebagai antara barangan berharga yang perlu dijaga sebaiknya.
Hal ini kerana, ia mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri, apatah lagi usianya sudah tiga dekad.
"Simpan Mat dan letak dalam frame.
"Wuuu..limited edition tu. Tak ada dah edisi terkini dicetak. Sekarang post di media sosial.
"Frame kan dan buat salinan. Surat itu sangat berharga," komen sebahagian pengikutnya.


Sementara itu, usaha Gempak untuk mendapatkan komen lanjut daripada Mat Dan masih tidak berjaya apabila kiriman mesej yang dihantar kepadanya belum berjawab.
Mat Dan yang berasal dari Bristol, United Kingdom, mula menetap di Malaysia sejak 2009.
Pengacara Haramain Backpackers itu mula mencuri perhatian masyarakat Malaysia dengan kebolehannya menguasai dialek Terengganu dengan baik.
Dia kemudian mendirikan rumah tangga dengan wanita kelahiran Terengganu, Nadifa Adnan pada Mac 2017.
Hasil perkongsian hidup, Mat Dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Zayne Tyler berusia dua tahun.

Must-Watch Video