Kumpulan Floor 88 mendedahkan bakal berduet dengan penyanyi tular Indonesia, Raffa Affar untuk sebuah lagu baharu sebagai langkah promosi bagi menembusi pasaran Indonesia.

Jelas Ayie selaku vokalis, tujuan kolaborasi itu sebagai salah satu cara untuk mengukuhkan lagi nama kumpulan mereka di negara seberang memandangkan lagu Hutang sudah mula menempa nama di sana.

“Peminat daripada Indonesia sudah mula meyukai muzik kami dan kami dah ada beberapa penganjur yang mahu menyusun persembahan Floor 88 di Indonesia, cumanya kalau kami pergi dengan membawa lagu Hutang sahaja, takut krik-krik bila kami perform lagu lain.

“Jadi sekarang kami ada perancangan, kami dalam proses menyiapkan sebuah lagu duet bersama Raffa Affar. Jadi bila kami keluarkan lagu tu, dapat mengukuhkan lagi nama kami di sana.

“Bila dah kukuh, barulah mereka (peminat) akan cari lagi lagu-lagu kami tapi pada masa yang sama, kami akan sentiasa keep in touch dengan peminat-peminat di Indonesia. Kami tak mahu terus gopoh, satu lagu dah hit terus nak pergi. Kami nak bagi mereka rasa tak sabar dan rindu.

“Sebab Raffa dalam satu temu bual, dia sebut nama Floor 88, dia pun follow Floor 88. Kami pun sangat menghargai, apa salahnya kita berkolaborasi walaupun ada segelintir komen yang kami nampak agak tidak memberangsangkan tapi kami ambil benda tu sebagai satu langkah untuk sama-sama belajar.

“Kami nak ambil peluang yang ada tu untuk kami menembusi pasaran seberang supaya orang Indonesia lebih mengenali nama Floor 88,” jelas Ayie.

Kumpulan Floor 88 dianggotai Ayie Elham sebagai penyanyi, Achoi (gitar), Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Tambahnya lagi, berkat lagu Hutang yang sudah popular di Indonesia, mereka menerima banyak pengikut dan peminat baharu dari Indonesia.

“Selepas lagu Hutang popular di Indonesia, dalam sebulan dia naik mendadak sampai mencapat 90 juta tontonan di YouTube. Dia macam satu lagu baru yang baru sahaja dirilis di Indonesia.

“Tapi sekarang apa yang kami tengah kaji dari segi demografi, Indonesia tu besar. Kami nak cari di mana yang betul-betul sokong kami melihat pada komen-komen peminat di sana,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut mengenai kolaborasi bersama Raffa, mereka sudah mempunyai karya yang sesuai dan menunggu untuk penyanyi muda itu datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani proses rakaman.

“Pemilihan lagu tu dah siap, kami menunggu masa Raffa free untuk datang ke Malaysia sebab kalau kami rakam di sini, dia rakam di sana takut bercanggah dari segi susunan lagu dan idea. Jadi kami minta dia datang sini, rakam secara berdepan la senang sikit,” katanya lagi.

Sekadar info, Raffa menjadi buah mulut wargamaya selepas membuat 'cover version' lagu popular Malaysia seperti Buih Jadi Permadani dan Mencari Alasan nyanyian asal kumpulan Exists dan Tiara (Kris) di media sosial yang mendapat pelbagai komen termasuk kecaman netizen.