Sebuah syarikat swasta di China telah melancarkan program diet dan menawarkan ganjaran wang tunai kepada pekerjanya yang berjaya menurunkan berat badan.

Menariknya, syarikat Xian Jingtian Investment Consulting yang terletak di Shaanxi itu akan membayar sebanyak RM63 untuk setiap kilogram berat badan yang berjaya diturunkan.

Kempen itu yang bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kakitangan syarikat telah dilancarkan sejak Mac lalu.

Antara syarat yang ditetapkan bagi pekerja untuk menyertainya adalah mereka perlu turun sekurang-kurangnya tiga kilogram.

Menurut seorang kakitangan syarikat, Zhou Wei, setakat ini lebih daripada separuh pekerja di syarikat itu berjaya mengumpul hadiah tersebut setiap bulan.

“Saya berjaya menurunkan sebanyak 20 kilogram dalam masa dua bulan dan berjaya mengumpul wang sebanyak RM1,260.

"Hari ini, saya hanya makan cendawan gorang dan telur. Biasanya saya akan mengambil daging di dalam setiap hidangan,” kata Zhou yang sudah mula pergi ke gim setiap hari.

Wang Xuebao, yang merupakan bos kepada syarikat tersebut berkata dia amat terkejut dengan sambutan yang diberikan kepada program ini.

”Saya amat risau apabila melihat pekerja kami hanya duduk di tempat mereka tanpa banyak bergerak.

”Itulah antara punca mereka mengalami masalah berat badan berlebihan, termasuklah saya.

”Dengan adanya program ini, saya harap kami akan menjadi lebih sihat,” katanya kepada portal South China Morning Post.

Rara-rata pekerja syarikat lain cemburu dengan kempen yang dianjurkan oleh syarikat tersebut berharap agar majikan mereka turut berbuat demikian.

Sumber : SCMP.com, The Star.
Olahan : Izzat Ridzwan