Laman Utama
"Mak Selalu Ingatkan Saya Untuk ..." - Amir Masdi
Amir Masdi menjadi antara penyanyi yang kian meraih perhatian penggiat industri hiburan tanahair. Bakat dan kualiti vokal dimiliki Amir Masdi tidak perlu disangkal lagi. Ia terbukti menerusi persembahannya dalam pelbagai pertandingan nyanyian di kaca TV hingga mendapat pujian ramai.
Dalam masa sama, Amir, 27, atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi juga dilihat cukup bertuah apabila mendapat kepercayaan daripada beberapa penyanyi ternama tanahair termasuk diva negara, Dayang Nurfaizah untuk berkolaborasi bersamanya.
Terbaharu, Amir yang layak ke ‘Anugerah Juara Lagu’ ke-37 (AJL-37) menerusi lagu “Debu” duet bersama Dayang Nurfaizah muncul dengan single baharu berjudul “Sengaja” hasil ciptaan sepenuhnya oleh Hang Nadim dan Bunga Cantik serta diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music.
Impikan lagu Hang Nadim, Bunga Cantik
Amir berkata, dia terus jatuh cinta dengan lagu “Sengaja” kali pertama mendengar demo lagu tersebut.“Pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya rasakan ia adalah lagu yang sangat bagus. Saya memang dah lama impikan sebuah lagu daripada Hang Nadim iaitu seorang komposer yang sangat hebat. Kita juga tahu banyak lagu dia yang berjaya meraih anugerah.
“Lagu ini mengisahkan seorang individu yang memendam perasaan di mana dia meluahkan dalam lagu ini bahawa dia selalu dipersalahkan. Apa sahaja yang dibuat pasti dia akan dipersalahkan. Jadi, dia meluahkan perasaan geram dalam lagu ini. Pertama kali dengar, saya boleh masuk dengan lagu ini dan saya pasti ramai yang boleh kaitkan kisah daripada lagu ini,” katanya.
Hasrat ibu Amir Masdi
Menurut Amir, dia sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan pasangan suami isteri itu selain dapat memenuhi hasrat ibunya.“Selama enam tahun saya bergelar anak seni, mak saya selalu mengingati saya untuk mendapatkan lagu daripada Hang Nadim. Mak saya pun teringin juga nak lihat saya menyanyikan sebuah lagu daripada Hang Nadim.
“Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur bila dapat sokongan serta restu daripada mak saya. Jadi, dengan restu mak, usaha saya dan pasukan, alhamdulillah apa yang diimpikan kami berdua selama ini kini menjadi kenyataan. Saya sangat bersyukur sebab tak tahu rezeki datang bila. Saya berpegang dengan prinsip bahawa hasil tidak akan mengkhianati usaha,” katanya.
Berkongsi mengenai kerjasama dengan Hang Nadim dan Bunga Cantik, Amir berkata, semuanya bermula daripada pihak pengurusan dan syarikat rakamannya.
“Sebenarnya, saya tak berhubung secara langsung dengan Hang Nadim untuk minta sebarang lagu dan hanya minta tolong pihak pengurusan dan syarikat rakaman saya untuk bertanyakan kepada Hang Nadim. Tapi, jawapan itu saya tak dapat dalam masa yang singkat mungkin kerana saya masih belum cukup bersedia ketika itu atau ada sebab lain. Walau apapun sebabnya, saya percaya sebab itu akhirnya mendorong kepada hasil yang lebih baik.
“Lagu ini sesuai dengan waktu dan momentum yang saya ada sekarang ini. Pengalaman saya bekerja dengan Hang Nadim dan Bunga Cantik memang senang untuk berbincang atau kaitkan pelbagai perkara kerana mereka juga adalah penyanyi. Mereka sangat profesional, bekerja dengan mereka juga seronok. Tak ada pun terjadi perkara tidak sepatutnya dan saya sangat gembira apabila semuanya berjalan lancar.
“Bunga Cantik pula sangat mengambil berat saya punya karakter dalam lagu dan suara. Dia selalu bertanya pendapat saya juga dan beri kebebasan untuk saya buat keputusan. Kebanyakan idea dan pembikinan lagu ini datang daripada mereka dan saya cuba sampaikannya dengan baik,” katanya.
Mahu hasilkan lagu betul-betul sesuai
Sementara itu, Hang Nadim berkata, dia dan isterinya, Bunga Cantik mengambil masa lama untuk menghasilkan lagu buat Amir disebabkan ingin memberikan hasil terbaik.“Sebenarnya lama juga Amir minta lagu daripada kami. Cuma kami tak dapat penuhi permintaan itu sebab masih belum jumpa material yang sesuai. Alasan lambat adalah disebabkan kami mahu hasilkan lagu yang benar-benar sesuai dengan Amir. Lagu ini kami rasakan betul-betul sesuai untuk Amir dan berharap ia dapat beri kebaikan dalam perjalanan seninya.
“Keseluruhan lagu ini memang hasil ciptaan kami berdua. Walaupun masing-masing ada kehendak yang berbeza tapi kami sentiasa berbincang dan gabungkannya supaya dapat menghasilkan lagu terbaik. Tapi perkara ini agak sukar sebab kadang-kadang kami akan bertekak. Bukanlah bergaduh, tapi mahu mencari kesepakatan itu yang sukar. Kami memerlukan masa juga untuk mendapat sesebuah lagu itu,” katanya.
Bagi Bunga Cantik pula, dia menyifatkan Amir seorang yang penyanyi yang bagus dan cukup bersedia ketika di studio rakaman.
“Bekerjasama dengan Amir tidak susah sebab dia juga seorang penyanyi yang bagus. Dia ada cara yang sangat profesional dan pada saya dia cukup bagus untuk menjadi seorang penyanyi berstatus bintang. Dia ambil serius dalam setiap aspek ketika bekerja jadi itu sangat memudahkan kerja kami.
“Minat dia dalam muzik sangat mendalam, alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Semoga lagu ini mendapat tempat di hati semua orang,” katanya.
Single terbaru Amir Masdi berjudul “Sengaja” terbitan Nova Music telah dilancarkan pada 10 Januari lalu dan boleh distrim di semua pelantar striming muzikt. Video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Vidoes’.
Must-Watch Video