Sebut sahaja Taiwan pasti kedengaran asing buat pelancong untuk dijadikan lokasi percutian, begitu juga dengan figura Ayda Jebat ketika pertama kali nama negara itu menerpa ke telingannya.

Menurut Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 30, dia sendiri akui tidak pernah terfikir untuk bercuti ke Taiwan sehingga menerima tawaran menjadi duta Salam Taiwan tahun ini.

Pun begitu, selepas dibawa menerokai beberapa lokasi menarik di sana, Ayda mula menyedari Taiwan adalah negara yang sangat indah serta menarik dikunjungi terutama buat seorang muslim sepertinya.

Menangis Lihat Pemandangan Di Taiwan, Bak Lukisan!


“Sebenarnya bila dapat tawaran menjadi duta Salam Taiwan untuk menerokai negara berkenaan saya pun macam tertanya kenapa Taiwan? Ada apa dengan Taiwan?

“Malah bila saya post di media sosial kata nak pergi ke sana, ramai tanya kenapa pergi Taiwan? Saya sendiri tidak membuat ‘study’ atau google tentang negara ini kerana saya mahu ia menjadi kejutan bila mengunjunginya.

“Terbukti! Saya boleh kata ada dalam tiga kali rasanya saya nak menangis memang rasa sangat tak percaya bila lihat keindahan pemandangan dan alam semula jadi di Taiwan.

“Ya memang dalam seumur hidup saya pernah travel ke Korea, Jepun dan sebagainya tetapi Taiwan mempunyai vibes yang luar biasa dan berbeza.

“Ini pertama kali saya lihat pemandangan macam dalam lukisan! Bila lihat wow speechless saya sampai menangis…Cantik sangat dapat lihat gunung gangang dengan ladang biri-biri di Hehuanshan iaitu Mount Hehuan.

“Memang sangat cantik dapat tengok in real life. Bila saya post di media sosial orang ingat ia gambar 3D background tipu,” kongsinya.

Ayda ditemui Astro Gempak di Taiwan ketika menjayakan penggambaran dan kempen Salam Taiwan di sana minggu lalu.

Penyanyi lagu Pencuri Hati itu berada di Taiwan selama dua minggu bersama suaminya, Nabil Mahir untuk kempen Salam Taiwan.

Selama berada di sana, Ayda memberitahu dia turut berkongsi pelbagai aktiviti dan lokasi menarik termasuk makanan-makanan halal yang dimakan.

Namun, tanpa dijangka masih ramai pengikutnya yang tidak yakin dengan makanan yang dinikmati ketika berada di sana

Makan Sup Katak?

@aydajebat Kat Taiwan makan sup katak? Nah! Alhamdulillah banyak restaurant and hotel halal & muslim friendly. #AydaJebat #fyp #food #taiwan #taiwan?? #salamtaiwan #makansedap ♬ Music Instrument - Gerhard Siagian


“Ada satu post di TikTok tu saya kongsikan makanan saya ketika berada di sana. Ada sekali itu ada yang orang mesej saya bertanya adakah saya makan katak semasa di Taiwan?

“Saya tahu mereka sensitif bab makan. Mungkin dalam pemikiran mereka jika ke Taiwan, maka kita akan makan hidangan eksotik. Sedangkan Taiwan adalah negara yang sangat mesra Muslim.

“Tapi terus-terang setakat berada di sini, ada banyak restoran makanan halal dan sedap boleh didapati dengan mudah.

“Ada pelbagai hidangan halal tak kisahlah juadah asli Taiwan, makanan Thailand, Jepun dan Indonesia semuanya lengkap di sini.

“Bukan itu sahaja, kebanyakan hotel juga sudah mengasingkan pinggan dan mangkuk untuk hidangan berstatus halal,” katanya.

Lagu Untuk Salam Taiwan


“Selama dua minggu di sini saya sempat menulis sedikit benda-benda menarik sepanjang perjalanan saya di sini.

“Saya dan pihak pengurusan dalam perancangan hendak membuat sebuah lagu buat Salam Taiwan sebagai tanda penghargaan selama saya berada di sini,” kongsinya lagi.

Ayda mengikat kontrak selama setahun setengah sebagai duta Salam Taiwan.