Malaysia tidak sesekali akan membenarkan rumah pelacuran dibuka, kerana undang-undang negara jelas tidak membenarkan perkara itu berlaku, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

BERITA TRENDING: Isu Bualan Pusat Pelacuran, Rosyam Nor Mohon Maaf - “Tak Sangka Akan Tular, Mohon Dengar Video…

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata apa jua perkara yang ingin dilaksanakan di negara ini perlu dibuat berdasarkan undang-undang yang telah termaktub.

"Kita kena ikut undang-undang. Tak boleh di Malaysia, tidak dibenarkan rumah pelacuran... tak boleh," katanya semasa mengulas kenyataan pelakon terkenal tanah air Rosyam Nor menerusi audio siar (podcast) Hitam Putih Kehidupan yang menyarankan pusat pelacuran disediakan untuk 'kemudahan' warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.

Fahmi turut bersetuju dengan pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bahawa cadangan pembukaan rumah pelacuran itu bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

"Saya rasa jawapan daripada menteri agama itu beri kita ruang untuk muhasabah. Saya setuju dengan pandangan menteri agama, tidak boleh perkara ini," katanya.

Mohd Na'im dalam kenyataan hari ini berkata cadangan membuka rumah pelacuran kepada warga asing sebagai langkah mengurangkan kes rogol dalam negara ini seperti yang diutarakan seorang pelakon tidak boleh diterima sama sekali.

Ditanya adakah kerajaan akan mengawal selia (regulate) kandungan podcast, Fahmi berkata; "Kita tiada rancangan mengenainya setakat ini, tapi anda baru saja berikan saya satu idea".

-- BERNAMA