Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengadakan solat hajat serta doa buat Palestin anda sokongan moral, prihatin dan kebersamaan Malaysia dengan saudara seagama di bumi tersebut.

Menurut Dr. Zulkifli solat hajat itu dilaksanakan secara serentak di semua masjid di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada malam semalam.

“Malam ini (semalam) solat hajat dan doa untuk Palestin dilaksanakan secara serentak di semua 89 masjid, 123 surau Jumaat dan 578 surau serta kediaman masing-masing di seluruh Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, semalam.

“Malaysia tidak sesekali akan berganjak daripada perjuangan yang didokong oleh rakyat Palestin. Manfaatkan segenap ruang dan peluang yang kita ada untuk membantu saudara kita di sana,” katanya.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut, beliau memuat naik foto ketika melaksanakan solat hajat tersebut di sebuah masjid.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat berjemaah bersama 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai dan petugas Istana Negara di Surau Utama Istana Negara, malam tadi.

A post shared by Menteri di JPM (HEA) (@drzulkifli.albakri)