Berita
"Mama Nak Kena Potong Kaki, Rasa Berpusing Dunia Kejap" - Serina Pujuk Ibu, Bagi Semangat
Pelakon Serina Redzuawan mengakui dirinya tergamam selepas mengetahui bahawa ibunya perlu menjalani proses pembedahan potong kaki ekoran masalah kencing manis yang kronik.
Bahkan, Serina, 37, berkata, perasaannya turut bercampur-baur apabila dia perlu memberitahu hal tersebut sendiri kepada ibunya selepas dimaklumkan oleh doktor.
"Ya Allah, mula-mula dapat berita pasal mama nak kena bedah potong kaki, rasa berpusing dunia kejap. Jadi kelu tak boleh berkata-kata, tak tahu macam mana nak beritahu pada mama hakikat ni.
"Doktor pakar minta anak sampaikan sendiri pada ibu. Saya tahu mama tentu kecewa dan menangis. Saya kuatkan hati doa banyak pada Allah beri kekuatan.
"Lepas saya pujuk dan terangkan kenapa kena potong juga sebab nak selamatkan nyawa mama, dia boleh terima dan reda. Dia nangis sedih. Saya peluk cium dia bagi semangat," kongsinya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Dalam posting tersebut, anak kepada Chef Wan itu turut berkongsi gambar ibunya yang sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan.
Katanya lagi, dia meminta orang ramai mendoakan agar segala urusan ibunya dipermudahkan.
"Doakan mama selamat pembedahan ya semua. Ujian yang berat untuk saya dan keluarga. Saya reda atas ketentuan Allah," tulisnya.
Sebelum ini, Chef Wan turut menyatakan kesediaannya untuk menjaga bekas isteri selepas selamat menjalani proses pembedahan.
Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail mendirikan rumah tangga dengan Norhayati Ayub, namun mereka kemudian bercerai.
Hasil perkahwinan itu pasangan itu dikurniakan dua orang anak, Serina dan Muhammad Nazri.
Must-Watch Video