Laman Utama
#MamiPiqahCorner Dapatkah Anak Terima Kenyataan Bila Kita Pergi Buat Selamanya? Ibu Ini Jelaskan Pentingnya Ingatkan Tentang Kematian…
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan banyak berita kematian terutama yang meninggal dunia akibat virus Covid-19.
Lebih menyayat hati apabila anak-anak kecil terpaksa menerima kenyataan apabila ibu atau bapa mereka atau kedua-duanya sekaligus telah pergi buat selamanya.
Hati anak-anak kecil ini sangat rapuh dan emosi mereka tidak sekuat seperti yang kita sangka. Mungkin hari ini mereka nampak riang tapi disebaliknya itu pasti menyimpan rasa yang amat perit.
Mati itu pasti tetapi tiada siapa yang boleh menjangka bila harinya untuk kita kembali ke negara abadi akan tiba.
Terbaharu Mami Piqah terbaca tentang satu penulisan seorang ibu yang turut terkesan dengan berita kematian yang semakin meningkat setiap hari.
Seorang pengguna laman Facebook yang menggunakan nama Maryam Jamadi berkongsi mengenai anaknya yang sudah mula memahami apa itu kematian.
Menurut Maryam dia selalu mengingatkan anaknya tentang kematian terutama jika dia atau suami pergi dahulu buat selamanya.
Anaknya sudah mulai faham dan turut terkesan serta bersedih apabila menerima berita kematian terutama dikalangan ahli keluarga mereka.
“Mungkin ada orang rasa "tak elok cakap pasal mati-mati ni, seperti mendoakan pula".
“Tapi bagi saya sekali-sekala penting untuk kita cerita dan ingatkan tentang kematian kepada anak-anak, sebagai peringatan kepada diri kita sendiri juga,” katanya.
Maryam turut menekankan tentang pentingnya mengingatkan anak-anak mengenai kematian supaya emosi mereka sedikit sebanyak bersedia menerima kenyataan tersebut.
“Sekali-sekala, penting untuk kita berbincang perihal kematian dengan pasangan atau anak-anak. Supaya masing-masing bersedia menghadapinya dan berusaha jumpa semula di alam abadi,” jelasnya lagi.
Selain kematian, Maryam memberitahu sedikit sebanyak dia boleh menyelitkan mengenai pahala, dosa, syurga dan neraka kepada anaknya supaya mendapat ilmu agama di awal usia.
Mami Piqah rasa ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Maryam ini. Sedikit sebanyak kita mendidik emosi anak kita untuk bersedia sahaja apa yang berlaku.
Sudahkah ibu dan bapa ingatkan anak-anak anda tentang kematian, pahala, dosa, syurga dan neraka?
Must-Watch Video