Semalam, Man Bai meluahkan rasa terkilannya terhadap sistem pengurusan Istana Budaya (IB) yang disifatkan kurang sistematik kerana menolak permohonannya dan memaklumkan perkara itu pada saat akhir.

Slot yang dimahukan itu juga telah diberikan kepada Konsert Duo Lagenda : Datuk Jamal Abdillah & Datuk M Nasir.

Berhubung perkara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani telah mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan keadaan sebenar.

"IB ada terima borang dan proposal dari pihak Man Bai namun permohonan yang dibuat pada bulan Ogos 2018 tidak lengkap, berbanding pihak lain yang telah menghantarnya pada 2017 lagi.

"Kebiasaan untuk mengadakan pada tahun yang sama sudah dikira lewat kerana IB menerima permohonan setahun awal dan seperti semua sedia maklum, IB sentiasa melancarkan program sepanjang tahun pada setiap awal tahun.

"Walaubagaimanapun, IB sentiasa membentangkan permohonan baru ke Ahli Jawatankuasa untuk menilai proposal yang diterima. Namun tarikh yang dimohon oleh pihak Man Bai telah pun diisi dengan program yang terlebih awal membuat permohonan," jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi turut mengeluarkan kenyataan.

"Kita sentiasa mahukan industri seni negara segar dengan aktivitinya dan kementerian amat mengalu-alukan penggiat seni tampil dengan idea baru dan bernas.

"Namun untuk melancarkan pengurusan acara-acara di IB, saya sekali lagi menyarankan agar rakan-rakan artis dapat mengikut tempoh waktu yang ditetapkan jawatankuasa penilai IB," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Man Bai dan Rahim Maarof bakal muncul dengan Konsert 2V Manbai + Rahim Maarof yang akan berlangsung pada 6 April ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC Kuala Lumpur.

Kepada anda yang tidak mahu lepaskan peluang menyaksikan konsert ini, pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.ilassotickets.com.