Laman Utama

Mangsa Tak Hadir, Perbicaraan Kes Da'i Syed Ditangguh

gempak
Gempak
21/04/2022
02:02 MYT
Sponsor Banner
Mangsa Tak Hadir, Perbicaraan Kes Da'i Syed Ditangguh
Perbicaraan kes pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas wanita itu tidak hadir bagi memberi keterangan.
Penuntut kolej itu yang juga mangsa dan pengadu kes sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwaan pada perbicaraan yang dijadualkan bermula semalam.
Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini, dilapangkan.
Syed Shah Iqmal, 27, yang lebih dikenali sebagai Da’i Syed sepatutnya dibicarakan pada 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 April dan sehari pada 17 Mei ini.
Sehubungan itu, beliau memohon tarikh bicara pada 17 Mei ini dikekalkan.
Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memaklumkan pihaknya tiada bantahan tarikh perbicaraan pada bulan ini dilapangkan kerana hak anak guamnya tidak diprejudiskan.
Hakim Jamaludin Mat membenarkan permohonan pendakwaan agar perbicaraan ditangguhkan dan menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan kes.
Pada 19 Mac 2021, kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dibenar dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan serentak.
Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 22 tahun.
Dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober 2020 di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.
Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.
Sumber: Utusan Online
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live