Pengarah, pelakon dan penyanyi Ebby Saiful mendedahkan dia mempunyai gejala claustrophobia iaitu perasaan takut dengan ruang sempit dalam diri.

Demi The Masked Singer Malaysia, Ebby, 61, terpaksa menahan perasaan itu dan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Rimau.

"Saya sebenarnya ada claustrophobia tetapi terpaksa tahan. Saya memang tak suka dengan tempat sempit.

"Bukan itu sahaja, kalau jalan kat tempat ramai orang macam kat Masjid India tu pun dah rasa panik.

"Masa pakai kostum tu dah rasa susah bernafas tapi tahan ja. Takda la sampai nak pengsan.

"Saya pun tak perlu ambil ubat sebelum pertandingan. Alhamdulillah semua okay," katanya kepada Gempak.

Punya kuat ngaumannya dulu, sampai ke Singapura jadi bualan. Dari pengarah, pelakon, penyanyi semua dia sapu jalan. Tapi sampai di sini saja Rimau mengaum, selamat tinggal diucapkan kepada Ebby Saiful. #TheMaskedSingerMalaysia #TheMaskedSingerMY #SiapaDiSebalikTopeng

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak) on


Sementara itu, pelakon filem Ali Setan dan Ali Setan 2 akui agak sukar untuk bergerak apabila mengenakan kostum.

"Nak jalan tu agak susah bila dah pakai kostum. Sebabnya hanya ada satu lubang untuk nampak keadaan di luar. Nasib ada krew yang tolong pegang.

"Apapun, saya gembira sebab dah lama tak muncul dalam program realiti. Itu yang saya terus terima ja masa pihak produksi beri tawaran," katanya lagi.

Minggu kedua menyaksikan Bunga Raya mengungguli di tempat pertama dengan dendangan lagu Hareudang Hareudang nyanyian asal Vita Alvia.

Manakala, Rimau pula terpaksa akur berada di kedudukan paling bawah dengan nyanyian lagu I Want You To Love Me dendangan asal Alif Satar sekaligus tersingkir.

BACA: Rimau Tersingkir, Ini Recap The Masked Singer Minggu Kedua

The Masked Singer Malaysia yang dibawakan oleh SK magic dan Oppo selaku penaja utama itu bersiaran menerusi saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) iaitu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.