Kanta lekap pada asalnya dicipta untuk ‘menggantikan’ cermin mata bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan.

Selalunya, kanta lekap digunakan jika seseorang itu enggan menggunakan cermin mata untuk jangka masa yang lama, atau perlu melakukan aktiviti lasak sehingga boleh memberi risiko terhadap pemakaian kaca mata.

Namun, zaman telah berubah, kanta lekap kini dilihat sebagai penambah gaya, apatah lagi ia didatangkan dalam pelbagai warna dan kadang-kala saiz.

Sungguhpun banyak jenama kanta lekap yang telah diluluskan dijual di pasaran, tetapi, masih ada sekelompok individu yang mendapatkan kanta lekap import berharga murah yang dipasarkan secara online, tanpa sebarang perakuan sah. Hal ini sudah tentu memberi risiko kepada pemakai.

Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, seorang wanita bernama Farah mendedahkan yang kedua belah matanya mengalami kegatalan seolah-olah berpasir dan tidak selesa selepas memakai kanta lekap selama sembilan jam.

Akibatnya, dia ditahan di hospital selama tiga hari untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

Mata bengkak

“Saya beli kanta lekap itu di TikTok kerana terpengaruh dengan rakan disebabkan ulasan yang memberangsangkan. Saya tidak fikir panjang dan terus membelinya kerana ingin mencuba.

“Akibatnya mata saya bengkak dan merah sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terlalu sakit dan susah nak buka.

“Nasib baik saya tidak buta kerana kanta lekap yang digunakan tidak disteril dengan betul menyebabkan ia terdedah kepada kuman,” katanya.

Selain Farah, seorang lagi individu bernama Atikah mendedahkan yang dia mengalami luka pada saraf mata selepas memakai kanta lekap murah, menyebabkan penglihatannya kabur.

Kanta lekap

Tambahnya, selepas sehari keadaan penglihatan mulai kabur dan dia cuba memakai cermin mata, keadaan tersebut tetap sama malah ujian penglihatan juga menunjukkan dia gagal mengenal huruf.

Disebabkan hal itu, dia terpaksa dikejarkan ke hospital. Lebih mengejutkan, pada waktu itu, kedua matanya tidak boleh dibuka, atau melihat cahaya kerana terlalu sakit.

Pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan luka pada kornea mata dan dia terpaksa menjalani pemeriksaan berkala sehingga sembuh.

“Sebelum ini saya pernah pakai kanta lekap tetapi jarang sangat pakai dan pernah juga beli di kedai optometri, tetapi kali ini tidak bernasib baik kerana beli di kedai biasa sehingga terkena macam ini.

“Selepas doktor periksa dan titiskan ubat terdapat kesan luka di kornea mata. Luka pada mata kiri dan kanan tetapi bahagian luka paling besar di bahagian kanan.

“Jangan pakai kanta lekap sebarangan kerana ramai sudah terkena ulser mata dan berkudis. Lebih baik pakai cermin mata,” katanya.

Menurut portal MyHealth, komplikasi berbahaya penggunaan kanta lekap ialah jangkitan kuman pada lapisan kornea mata yang dipanggil ulser kornea. Ia menyebabkan mata merah, kegatalan, rasa tidak selesa dan seterusnya mengakibatkan buta.

“Ulser kornea berlaku apabila kuman menjangkiti mata pemakai kanta lekap yang tidak menjaga kebersihan dan tidur tanpa menanggalkan kanta lekap,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
Sumber foto: Adrian Gordon (Unsplash), Freeimages

ARTIKEL BERKAITAN: “Babak Kena Rasuk, Jadi Ramlah, Buka Pasang Balik…” - Nabila Huda Pakai Kanta Lekap, Blackout!

ARTKEL BERKAITAN: Ria Ricis Minta Pendapat Mahu Buang ‘Kantung Mata’, Netizen: “Baik Ganti Akhlak…”