Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak cepat memadam mural dan potret lukisan pemimpin negara yang diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, menerusi sebuah kenyataan berkata, pihak mereka memandang serius vandalisme terhadap lukisan mural berkenaan seperti yang ditularkan di media sosial tengahari tadi.

“Pihak MBSA memandang serius terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan vandalisme ini.

“Tindakan vandalisme ini amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang telah bekerja keras dan komited dalam menangani wabak Covid-19.

“Lanjutan daripada itu pihak MBSA telah mengambil langkah segera untuk mengecat semula dinding tersebut dengan cat berwarna putih dan dalam masa sama satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan MBSA akan mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan perbuatan keji tersebut, selain menasihati mana-mana individu supaya memaklumkan kepada mereka sekiranya ingin melakukan aktiviti mural di tempat awam.

“Tindakan akan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme MBSA (2005) sekiranya mendapati mana-mana pihak melakukan vandalisme.

“Pihak MBSA juga ingin menasihatkan semua pihak agar merujuk terlebih dahulu kepada MBSA sebelum melakukan aktiviti mural di tempat awam, di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.
Terdahulu, pemilik akaun @mrjameslabu, memaparkan video berdurasi 14 saat mengenai keadaan mural tersebut selepas diconteng dengan perkataan kurang sopan.

Mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk potret Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Mural berkenaan dilukis oleh tiga pelukis muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, Mohd Firdaus Nordin dan Abdul Hadi Ramli ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.

Artikel berkaitan: