Laman Utama
McDonald’s Malaysia Nafi Salur Bantuan Kepada Israel
Jenama makanan segera terkenal McDonald's Malaysia menafikan pihaknya menyalur bantuan kepada Israel serta menyifatkan perkara itu sebagai pembohongan dan fitnah.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar menjelaskan McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) telah diambil alih sepenuhnya syarikat Reza Group dari Arab Saudi bersama seorang rakan niaga tempatan sejak 2017, dengan ekuiti syarikat tersebut dimiliki oleh mereka yang beragama Islam.
Tegasnya, sebagai sebuah syarikat tempatan, McDonald’s Malaysia tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara.
“McDonald's Malaysia sedar akan kewujudan mesej WhatsApp yang tular berkenaan pemboikotan jenama kami.
“Pihak McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan bahawa pemboikotan ini adalah tidak berasas dan kenyataan tentang jenama kami menyalurkan bantuan kepada pihak Israel adalah suatu pembohongan dan fitnah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Azmir berkata, pendirian mengenai isu itu telah dijelaskan pihaknya pada 2017 dan telah dikongsi secara meluas orang ramai menerusi mesej WhatsApp mereka, selain diterbitkan media arus perdana, dalam talian dan blog.
Tambahnya lagi, pada tahun sama, pihaknya juga telah mendapatkan pandangan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang antaranya menyatakan seruan “wajib boikot” hanyalah sah jika ia diperintah oleh umara’ atau pemerintah negara selain boikot tanpa fakta sah boleh dianggap sebagai fitnah dalam hukum Islam.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video