Siri animasi Mechamato sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila tercalon dalam TOP 10 Anugerah Festival Anime Tokyo 2023 yang sedang berlangsung di Jepun ketika ini.

Mechamato The Animated Series adalah satu-satunya siri dari Malaysia yang berjaya menembusi carta TOP 10 undian siri TV popular di Jepun.

Menariknya lagi, ia merupakan satu-satunya siri bukan keluaran Jepun yang tercalon dalam TOP 10 pencalonan Anugerah Festival Anime Tokyo 2023 tersebut.

Terdahulu, siri animasi tersebut telah memasuki carta pada tempat ke-28 di antara 411 anime yang dicalonkan pada hari Jumaat lepas.

Mengejutkan lagi, hanya dalam tempoh kurang daripada seminggu, Mechamato The Animated Series kini melonjak naik ke tangga ke enam sekaligus mengatasi siri popular seperti Detective Conan, One Piece, Attack on Titan - The Final Season Part 2 dan Ousama Ranking.

Mechamato Karya MONSTA

Mechamato adalah anak emas baharu daripada syarikat MONSTA iaitu pencipta siri popular BoBoiBoy. MONSTA yang sudah bertapak di dalam industri animasi tempatan selama lebih 10 tahun terkenal di rantau Asia Tenggara dengan gerakkan rancak dan proaktif mereka yang sentiasa memasarkan hero-hero tempatan ke persada dunia.

Karya terbaru MONSTA, Mechamato telah mengharungi era pasca-pandemik yang sukar dengan berjaya apabila siri tersebut memperoleh hak penyiaran untuk lebih 64 negara sebaik sahaja ditayangkan pada tahun 2021. Siri itu juga mendapat tempat tertinggi di TOP KIDS SHOW di saluran penstriman Netflix bagi negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan.

BACA: Mechamato Kini Mendunia! Tambah Hak Siaran Di 65 Negara

Filem Mechamato

Dalam perkembangan lain, Mechamato akan mengeluarkan filem blokbuster yang terulung pada 8 Disember depan di seluruh pawagam negara.

MONSTA turut berusaha untuk membawa filem itu ke tayangan antarabangsa pada tahun 2023. Jom, berikan undian anda untuk Mechamato The Animated Series di TOP 10 pencalonan Festival Anugerah Anime Tokyo 2023 dengan mengklik pautan di sini.

BACA: Bakal Temui Penonton Disember Depan, Semarakkan Tayangan Mechamato The Movie Dengan Menyertai Larian Hydro Run

BACA: Bakar Keterujaan, Akhirnya Trailer Mechamato The Movie Dilancarkan!

Sumber: best100.animefestival , wanuxi.com