Pengakuan kontroversi Meghan Markle yang diluahkan dalam temubual eksklusif bersama Oprah Winfrey baru baru ini semakin mengelirukan.

Antara pengakuan yang dibuat bekas pelakon drama siri Suits itu adalah beliau dan Putera Harry telah berkahwin tiga hari lebih awal daripada tarikh sebenar perkahwinan mereka pada 19 Mei 2018.

"Tiga hari sebelum perkahwinan gemilang, kami sebenarnya telah berkahwin. Tidak ada siapa yang tahu. Ia hanya dibingkaikan di dalam kamar kami," akui Markle dalam temubual yang berlangsung pada 7 Mac lalu.

Namun demikian, pengakuannya itu dianggap sebagai sebuah penipuan apabila jurucakap pihak istana menafikan jika Markle dan Putera Harry telah berkahwin tiga hari awal dari tarikh sebenar.

"Mereka hanya bertukar ikrar perkahwinan beberapa hari sebelum acara perkahwinan yang sah," kata jurucakap itu seperti dilaporkan Page Six.

Jurucakap istana juga menjelaskan tindakan itu tidak dianggap sebagai perkahwinan yang sah.

Sementara itu, akhbar The Sun melaporkan telah mendapatkan surat perkahwinan pasangan diraja penuh sensasi itu daripada pihak berwajib.

Dalam catatan di surat perkahwinan itu, 19 Mei 2018 disahkan sebagai tarikh perkahwinan yang sah.

Selain kontroversi mengenai tarikh perkahwinan, banyak pihak yang menyangkal beberapa fakta pengakuan yang dibuat oleh wanita berusia 39 tahun itu sebaik temubual tersebut ditayangkan.

Antara isu yang dibangkitkan Markle adalah soal kebimbangan warna kulit anak mereka selain tidak pernah mengetahui mengenai protokol dan kehidupan monarki diraja sehingga bertemu Putera Harry.

Kredit Foto: Getty Images