Sekilas
- Dr. Hairul Anuar Harun berkongsi pengalaman menghasilkan album ‘Seri Balas’ yang menggabungkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris serta berjaya menjual lebih 100,000 unit.
- Royalti dari album tersebut membantu Hairul menyelesaikan yuran pengajian tertunggak dan mengandungi enam lagu ciptaannya termasuk ‘Hati Kama’ yang dirakamkan secara berasingan oleh kedua-dua penyanyi.
- Album ‘Seri Balas’ memenangi beberapa anugerah utama seperti Album Pop Etnik Terbaik dan Album Terbaik AIM7, manakala lagu ‘Hati Kama’ turut menerima pengiktirafan di AJL dan AIM7.
Penulis lirik terkenal, Dr. Hairul Anuar Harun mengimbau kenangan di sebalik pembikinan album ‘Seri Balas’ yang pernah mencetuskan fenomena menerusi gabungan dua penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris.
Menerusi perkongsian di Facebook, Hairul mendedahkan royalti yang diterimanya hasil penjualan album tersebut bukan sahaja menjadi antara pencapaian manis dalam kerjayanya, malah membantu menyelesaikan yuran pengajian yang tertunggak selama beberapa semester.
Menurut Hairul, album yang terjual lebih 100,000 unit itu memuatkan enam lagu hasil tulisannya, termasuk ‘Hati Kama’, ‘Lenggang Lenggok’, ‘Dondang Dendang’, ‘Ya Allah Ya Saidi’, ‘Merak Di Sangkar’ dan ‘Pasir Salak’.
“Album ‘Seri Balas’ ada 10 lagu. Empat lagu lama, copyright control. Enam lagu lain adalah semua lirik saya dengan menggunakan nama pena, ada sebabnya.
“Bolehlah mengkaji apa yang telah saya tulis dalam album itu walaupun semua saya tapau, bukan tangkap muat.
“‘Kencang’ la juga royalti yang saya dapat untuk album itu, terjual lebih 100 ribu.
“Royalti itulah saya guna untuk selesaikan yuran pengajian yang tertangguh beberapa semester,” tulisnya.

Mengimbas sejarah penghasilan lagu ‘Hati Kama’ pada 1998, Hairul berkata ketika itu dia masih menuntut di Akademi Seni Kebangsaan (ASK), yang kini dikenali sebagai ASWARA.
Katanya, Allahyarham Pak Ngah telah memanggilnya ke studio untuk mendengar demo lagu sebelum memberikan panduan suku kata bagi menghasilkan lirik yang bersesuaian.
“Hati Kama ditulis pada tahun 1998. Saya masih lagi pelajar di ASK-ASWARA ketika itu.
“Pak Ngah panggil saya masuk studio dan berikan suku kata sambil mendengar serta menerangkan demo lagu.
“Dua tiga hari juga selesaikan lirik itu, siang kuliah, malam menulis.
“Judul ‘Hati Kama’ saya yang beri. Berkerut dahi Pak Ngah mendengar saya terangkan semua tentang lirik lagu itu. Pak Ngah suka dan setuju,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, Hairul turut mendedahkan bahawa judul album ‘Seri Balas’ merupakan cadangannya sendiri selepas menemui perkataan tersebut dalam sebuah kamus lama.
“Judul ‘Seri Balas’ juga saya cadangkan, diambil dari kamus yang saya ada ketika itu, membawa maksud balai penghadapan.
“‘Seri Balas’ juga adalah tentang seni berduet dan berbalas lenggok.
“Tetapi ada juga kamus yang saya jumpa berpuluh tahun selepas itu mengatakan balai penghadapan itu adalah ‘seri balai’,” jelasnya.
Berkongsi mengenai proses rakaman pula, Hairul berkata vokal Siti dan Noraniza bagi lagu ‘Hati Kama’ sebenarnya dirakamkan secara berasingan di Pro Studio, Cheras kerana jadual kedua-dua penyanyi yang padat.
Malah, sesi fotografi kulit album turut dilakukan di hotel penginapan ketika berlangsungnya Anugerah Juara Lagu (AJL) 1998.
Ketika itu, Noraniza mengenakan pakaian persembahan lagu ‘Dikir Puteri’, manakala Siti pula memakai busana yang digunakan ketika menyampaikan lagu ‘Cindai’.
Album ‘Seri Balas’ kemudian mencipta kejayaan apabila memenangi kategori Album Pop Etnik Terbaik dan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-7 (AIM7) pada 2000.
Lagu ‘Hati Kama’ pula pernah memenangi kategori Etnik Kreatif pada AJL 1999, selain turut dicalonkan bagi kategori Lagu Terbaik di AIM7.
Menjelang sambutan 30 tahun penglibatannya dalam industri muzik pada tahun hadapan, Hairul mengakui sudah melalui pelbagai pengalaman, termasuk zaman kegemilangan, kejatuhan dan kesukaran dalam kehidupan.

Bagaimanapun, dia kini lebih memilih untuk memberikan perhatian kepada perkara yang benar-benar bermakna daripada melibatkan diri dalam perkara yang tidak mendatangkan manfaat.
“Dalam usia begini, saya sudah rengsa untuk bingar pada perkara yang tidak mendatangkan manfaat.
“Menumpang zaman kegemilangan telah saya rasai. Bergelumang saat kehilangan dan kejatuhan juga saya dah hadapi.
“Berjuang perih menghabiskan pengajian juga telah saya harungi.
“Orang pun bukannya kenal saya. Sekadar di belakang tabir, siapalah yang peduli.
“Tak gemar, tak setuju, tak penting, lebih baik saya berdiam sahaja.
“Diundang, saya datang. Diperlukan, saya hadir. Dihargai, saya hormati. Dilupakan, bawalah diri.
“Al-Fatihah untuk Pak Ngah dan terima kasih untuk 30 tahun yang bermakna,” tulisnya.
Sumber: Facebook Dr. Hairul Anuar Harun