Seramai 17,599 individu di Malaysia diisytiharkan bankrap sejak 2020 hingga Mei lalu, dengan majoriti kes membabitkan kaum Melayu iaitu 10,266 kes.

Ini diikuti Cina dengan 4,447 kes, India (1,321 kes), lain-lain (1,516 kes), manakala 48 kes lagi melibatkan bukan warganegara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapan bertulis berkata, mengikut pecahan negeri, Selangor mencatatkan jumlah kebankrapan tertinggi iaitu 4,164 kes dalam tempoh sama.

Sementara Wilayah Persekutuan dan Johor masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan jumlah 2,203 dan 1,987 kes.

Tiga negeri yang berada di kedudukan paling rendah pula ialah Perlis (99); Melaka (453); serta Terengganu (569).

Dalam kenyataan bertulis itu lagi, Wan Junaidi menambah daripada jumlah keseluruhan, individu berusia di antara 35 dan 44 tahun dikategorikan sebagai paling ramai muflis iaitu 6,681 orang.

"Kerajaan telah mengkaji undang-undang berkaitan kebankrapan melalui Akta Kebankrapan (Pindaan) 2017 [Akta A1534] yang telah berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

"Melalui Akta A1534, kerajaan telah memberi hak perlindungan dan jaminan kepada bankrap berdasarkan lunas undang-undang yang telah digariskan berdasarkan rujukan dan perbandingan negara-negara luar seperti United Kingdom, Singapura, New Zealand dan Hong Kong," katanya dalam kenyataan bertulis itu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) yang meminta penjelasan berhubung bilangan rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis sejak Januari 2020 hingga Mei lalu mengikut umur, jantina dan kaum.

Mujahid turut bertanya, adakah kerajaan bercadang membuat polisi baharu bagi mengelak lebih ramai diisytihar muflis di usia muda.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, Akta A1534 telah pun memperkenalkan peruntukan-peruntukan baharu bagi melindungi kepentingan penghutang dan individu bankrap.

Sumber: Awani