Pengarah filem 10 Tips Tipu Bini yang sedang ditayangkan di Astro First, Azizi Chunk Adnan mengakui ada menyelitkan unsur dakwah berkaitan rumah tangga dalam filem terbaru arahannya itu.

Azizi berkata, 10 Tips Tipu Bini memang sebuah filem komedi ringan, tetapi ada pesanan yang hendak disampaikan menerusinya.

“Memang sengaja saya selitkan sedikit unsur dakwah berkenaan rumah tangga dan hubungan suami isteri dalam filem ini.

“Tidak salah rasanya, sambil berjenaka dan berhibur. Melalui hiburan ini saya kira mesejnya lebih mudah sampai kepada penonton,” katanya.

Dalam pada itu Azizi meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan mengarah filem 10 Tips Tipu Bini terbitan Rumah Produksi Merah milik Datuk Awie ini.

"Alhamdulillah, rezeki saya masih murah untuk mengarah filem. Pada saya, rezeki ini semua atas izin Allah. Saya reda dan tidak ada masalah dengan mana-mana pihak. Saya masih berkarya dan serahkan soal rezeki pada Yang Esa.

“Biarpun sebelum ini, saya pernah buat filem yang ada isi seperti Antoo Fighter dan orang kata mengarut. Tapi bila sudah tertulis rezeki, maka ada bahagian saya,” katanya positif.

Filem ini masih kekal nombor satu di carta top 5 Astro First dan kepada yang belum menonton bolehlah melanggan cepat.

Dengan RM15 anda boleh tonton 10 Tips Tipu Bini secara berulang-ulang selama 72 jam bersama seisi keluaga.

Filem berdurasi 104 minit ini adalah mengenai tiga sahabat baik iaitu Raffi (lakonan Ropie), Kay (Khir Rahman) dan Jepp (Joey Daud) yang bekerja sebagai Pengarah Kreatif di agensi pengikanan Grand Poyo Advertising & Events milik Datuk Dean (Azlee Senario).

Walaupun memiliki kerjaya hebat, apabila di rumah masing-masing takut dengan isteri.

Mereka juga mempunyai kelab motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson diberi nama Dubuk Liar. Namun, dalam masa sama mereka turut mengalami krisis pertengahan usia yang sering dialami segelintir lelaki di mana mempunyai niat untuk melakukan sesuatu tetapi takut-takut.

Semuanya berubah dengan kehadiran tiga gadis cantik yang menjalani latihan praktikal di syarikat tempat mereka bekerja.

Dari situ, Raffi, Kay dan Jepp mula memasang niat nakal untuk memikat tiga gadis itu untuk dijadikan kekasih masing-masing.

Namun, masalah terbesar mereka ialah untuk 'menipu' isteri masing-masing. Pelbagai taktik digunakan antaranya 10 tips yang diperoleh daripada pakar cinta iaitu Brother Love lakonan Awie.