Laman Utama

Membanggakan! Aznil Nawawi Dilantik Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan & Ekonomi UM

gempak
Izwan Isa
27/10/2023
14:50 MYT
Sponsor Banner
Membanggakan! Aznil Nawawi Dilantik Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan & Ekonomi UM
Datuk Aznil Haji Nawawi terus melakar sejarah peribadi buat dirinya dan membanggakan industri hiburan tempatan secara tidak langsung apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh pihak Universiti Malaya dengan menyatakan tanggungjawab yang diberikan kepada Aznil, telah berkuat kuasa bermula 9 Oktober lalu.
“Datuk Aznil Haji Nawawi, alumni Universiti Malaya tahun 1984 yang tersohor, telah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya berkuat kuasa 9 Oktober 2023.
“Anak jati Kuala Lumpur ini yang dikenali umum dalam bidang komunikasi penyiaran, adalah graduan ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (kini Fakulti Perniagaan dan Ekonomi) merupakan antara pendokong industri pengucapan awam negara.
“Menerusi ketokohannya ini, beliau telah terpilih untuk berkolaborasi bersama Kementerian Pendidikan melahirkan murid-murid sekolah berketrampilan kelas pertama, selaras dengan aspirasi program Pembelajaran Abad ke-21 (PAK -21).
“Dengan kepercayaan itu juga, Kementerian Ekonomi turut memilih Datuk Aznil Haji Nawawi sebagai Mentor Pengucapan Awam untuk sebuah program khusus pembangunan usahawan.
“Dengan pelantikan berprestij ini pastinya akan memperkasa kemahiran pengucapan awam di kalangan warga kampus khususnya mahasiswa dari pelbagai cabang bidang pengkhususan.
“Dokongan Datuk Aznil Haji Nawawi yang tidak ternilai ini dapat membantu Universiti Malaya mencapai hasrat melahirkan graduan yang lebih berani, bijak berkomunikasi dan versatile dalam mendepani cabaran dunia masa hadapan yang semakin sukar diramal,” tulis kenyataan rasmi daripada pihak Universiti Malaya.
Apapun selamat maju jaya Pak Nil! Anda memang sudah menjadi ‘Macam-Macam Paknil’ dan layak dijadikan teladan oleh semua.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024