Seorang petani muda berusia 20 tahun dari etnik Tibet menjadi sensasi baharu di media sosial kerana ketampanannya yang dilihat sama seperti bintang K Pop dan seorang model.

Pemuda dengan nama Tenzin atau dalam panggilan Cinanya, Ding Zhen menjadi bualan hangat netizen selepas muncul dalam sebuah iklan yang mempromosikan pelancongan di wilayah Sichuan Litang.

Ding Zhen disifatkan sebagai mempunyai pandangan mata tajam, senyuman menawan dan pesona tak kalah seperti seorang model popular dengan sosok tubuh sempurna biar hanya menetap di perkampungan dengan pekerjaan sebagai petani.

Kelibat Ding Zhen dirakamkan oleh seorang juruvideo profesional di sekitar kediamannya di wilayah Sinchuan, Tibet. Dia dilihat melakukan aktiviti sehari hari termasuk berkuda dan menggembala haiwan.

"Hi nama saya Ding Zhen. Selamat datang ke wilayah Sichuan Litang," katanya sambil tersenyum bangga.

Bercakap mengenai kampung halamannya, pemuda itu mengaku telah banyak perubahan yang berlaku termasuk taraf kehidupan yang semakin baik dan keindahan alam yang menjadi lebih cantik.

Untuk dirinya, secara peribadi dia mengaku ingin mengejar mimpinya menjadi seorang pelumba kuda profesional, seperti yang dilaporkan Chinadaily.com.



"Saya lebih sukakan kehidupan yang bebas di padang rumput dan mahu menerokanya bersama kuda kesayangan, Pearl.

"Saya bekerja keras saat ini untuk memberi sumbangan di atas pembangunan kampung saya," katanya dalam video sekitar durasi tiga minit itu.

Sejak disiarkan pada 25 November lalu, video promosi tersebut menarik minat banyak pengguna Internet kerana tertarik dengan ketampanan pemuda tersebut.

Dia kini malah dilaporkan mula menarik minat banyak agensi yang menawarkannya pekerjaan berkaitan dengan bidang peragaan dan hiburan.