Laman Utama
Menang Oscar, Tinggal Di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh Tetap Malaysian! - “Kami Hidup Saling Mencintai Semua Budaya”
Tan Sri Michelle Yeoh adalah penerima anugerah tertinggi Oscar edisi terkini. Menetap di Hollywood sekian lama kerana kerjayanya dicetak di sana.
Namun, jika ada yang melabelkan pesohor berusia 61 tahun ini bukan orang Malaysia atau tidak mewakili Malaysia dalam setiap langkah dan kejayaan yang dicipta di luar negara, anda silap!
Hal ini ditunjukkan dengan jelas oleh anak kelahiran Ipoh, Perak itu dalam pertemuan bersama media tempatan sempena acara Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet yang berlangsung di Hotel Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur tengahari tadi.
Advertisement
Yeoh juga sangat teruja berkongsi pandangannya tentang Malaysia. Biar menghabiskan separuh kehidupannya di Hollywood, Yeoh bagaimanapun dengan jelas masih ‘pekat’ jati diri sebagai seorang Malaysia.
Beliau malah bangga kerana menjadi anak Malaysia dan dapat menikmati kehidupan dalam persekitaran majmuk serta mempunyai kenalan dalam kalangan pelbagai bangsa.
“Indahnya Malaysia ini kerana kita hidup dalam persekitaran berbilang bangsa. Kami hidup dengan saling mencintai semua budaya termasuk Cina dan India. Dan ini menjadi asas kepada kehidupan saya.
“Dengan persekitaran seperti ini (sewaktu dibesarkan) saya boleh bekerja dan pergi ke mana sahaja tanpa melihat perbezaan dan belajar dengan orang sekeliling tidak kisah kawan Melayu, Cina atau India,” katanya penuh bangga.
Tambah bintang yang pertama kali menjejakkan kaki ke luar negara sewaktu usia belasan tahun itu lagi, budaya dan kepelbagaian kaum di Malaysia telah membentuk dirinya menjadi seorang individu yang terbuka, memberi dan menerima antara satu sama lain.
“Dan dibesarkan dalam suasana sebegini (kepelbagaian kaum) membuat saya lebih terbuka, memberi dan menerima di antara satu sama lain.
“Itu yang sepatutnya kita lakukan. Menerima siapa kita dan menerima perbezaan. Itulah perkara yang indah tentang dunia,” jelasnya lagi.
Terdahulu menerusi pencalonannya di Oscar, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Yeoh juga telah meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29, menerusi watak ikoniknya, Evelyn Quah Wang.
Must-Watch Video