Mempertaruhkan 90 peratus keaslian daripada kisah sebenar hafizah al-Quran yang dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia dan perlu berpoligami menjadi kekuatan filem Perjalanan Pembuktian Cinta.

Naskhah dari Indonesia yang telah diadaptasi daripada novel best seller dengan tajuk yang sama karya penulis Nusaibah Azzahra itu sebelum ini mendapat sambutan hangat biarpun ditayang pada bulan Ramadan.

Dakwah kecil

Kata penerbitnya, Arisakti Prihatwono, karya itu merupakan salah satu dakwah kecil untuk memberikan kesedaran serta ilmu kepada penonton.

"Hasrat kami untuk menyampaikan dakwah dalam bentuk filem, selain berhibur penonton boleh memanfaatkan sesuatu daripada karya ini.

"Memang benar, filem ini mengangkat kisah sebenar yang berlaku dan penulis novel itu sendiri merupakan isteri kepada individu yang diangkat kisahnya.

"Lebih kurang 90 peratus hampir sama dengan kisah yang nyata. Walhal, kisah sebenarnya jauh lebih mendalam dan kompleks, kami cuba membentuk karya ini agar lebih jelas difahami penonton.


"Selain mendapat informasi yang bersangkutan, ia benar-benar dijadikan satu POV daripada kisah yang berlaku dalam masyarakat kita," katanya kepada Gempak.

Arisakti ditemui pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Perjalanan Pembuktian Cinta di Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Filem Islamik yang mengangkat tema perkahwinan tanpa real itu diterbitkan syarikat produksi dari Indonesia, Film Maker Muslim (FMM Studios) dengan kerjasama PPA Institute dan Pejuang Subuh.

Islamik romantik

Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar selaku pengedar filem tersebut untuk tayangan di Malaysia berkata, pihaknya berminat membawakan filem Perjalanan Pembuktian Cinta ke Malaysia kerana ia menawarkan sesuatu yang unik dan segar dalam genre filem Islamik romantik.

“Dengan jalan cerita yang memberi inspirasi tentang kekuatan wanita mengharungi cabaran hidup, filem ini dijangka mampu menyentuh hati penonton dan memberi pengajaran bermakna. D'Ayu Pictures berbangga membawa karya istimewa ini untuk tontonan penonton Malaysia.

“Tarikan filem ini terletak pada kisah benar yang diangkat, watak-watak yang menyerlah dan alur cerita yang tersusun indah. Gabungan elemen komedi dan drama dan juga latar belakang nilai keagamaan yang seimbang bakal mengadun emosi penonton.

“D’ Ayu Pictures sudah pasti menyokong kelainian filem ini kerana ia menyaksikan sebuah kisah cinta dan nilai murni agama digabungkan dengan agung yang bakal menyentuh jiwa penonton,” ujarnya.

Perjalanan Pembuktian Cinta menceritakan tentang seorang penghafaz Al-Quran, Fathia menempuh rintangan hidup apabila dipaksa berpoligami oleh ayahnya sendiri dan berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintainya.

Diarahkan oleh M. Amrul Ummami, filem tersebut dibintangi ramai pelakon hebat seperti Dea Annisa, Teuku Ryan, Muzakki Ramdhan, Donny Damara, Elma Theana dan ramai lagi.

Sudah ditayangkan di Indonesia sejak 7 Mac lalu, Perjalanan Pembuktian Cinta akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Jun 2024.


SINOPSIS PERJALANAN PEMBUKTIAN CINTA

Perjalanan Pembuktian Cinta mengisahkan tentang seorang penghafal atau Hafidzah Al-Quran iaitu Fathia (Dea Annisa) dan Raehan (Teuku Ryan) yang saling menyukai antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Fathia terpaksa menjauhkan dirinya daripada Raehan atas kepatuhan kepada agama. Pada masa sama, ayah Fathia juga telah memaksa dia untuk berkahwin dengan seorang lelaki berusia dan sudah beristeri.

Berkahwin dengan lelaki yang tidak dicintai dan terpaksa berpoligami membuatkan kehidupan Fathia menjadi lebih sukar.

BERITA TRENDING: Hafizah Al-Quran Kena Kahwin Paksa Dengan Lelaki Berusia, Suami Orang!


BERITA TRENDING: "Nanti Orang Boikot Filem Saya, Rugilah Saya!" - Datuk Ayu Takkan Ambil Artis Bermasalah

BERITA TRENDING: Khong-Khaek, Filem Seram Islamik Pertama Thailand Masuk Pawagam Malaysia! - "Ada Pelakon Nampak Kelibat ..."

BERITA TRENDING: Berimej Islamik, Ada Penerbit Takut Nak Ambil Taiyuddin Bakar Berlakon! - "Saya Cari Rezeki Halal..."