Jumlah penularan Covid 19 di Malaysia yang dilihat kembali naik dengan mencecah tiga angka membuat banyak yang bimbang.

Salah satu yang ikut meluahkan kebimbangannya setelah kes Covid 19 di negara merekodkan 150 kes baharu semalam dengan kes dikesan dari beberapa pusat beli belah terkenal di ibu kota, adalah aktor Zizan Razak.

"Kebelakangan ini sejak kerajaan mula memberi sedikit kebebasan semua boleh keluar atau melakukan aktiviti seperti biasa, kita lihat kes Covid 19 kembali naik.

"Buat saya secara peribadi, ini adalah satu hal yang membimbangkan," kata Zizan kepada Gempak.

Malah aktor itu mengatakan kebimbangannya terhadap musuh yang tidak kita nampak ini sempat membuat dia berasa tertekan saat perintah kawalan pergerakan atau PKP dilaksanakan kerajaan beberapa bulan lalu.

"PKP yang berlaku tempoh hari buat saya tertekan. Ia membuat saya banyak berfikir tentang kehidupan.

"Jadi saya harap kepada rakyat Malaysia, apabila sudah diberi kebebasan sedikit ini, ikutlah SOP, pakai pelitup muka dan cuci tangan.

"Kita jaga kita, kita kawal balik keadaan. Jadikan Malaysia kembali kepada negara yang berzon hijau," katanya.

Meski bimbang melihat angka kes Covid 19 yang kembali naik, Zizan kini tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelaku seni.



Dia kini sibuk menjalani penggambaran filem terbaharunya, yang disutradarai oleh Afdlin Shauki, Baik Punya Ahlong.

Membawa watak sebagai Aloy, Zizan memberitahu penggambaran filem yang turut dibintangi oleh Adlin Aman Ramli dan sahabatnya, Johan ini masih dalam proses.

"Setakat ini kami sudah melangsaikan sekitar 60 peratus penggambaran dan dijangka habis pada pertengahan bulan Oktober ini.

"Pengalaman bekerja di filem ini memang mengujakan, apa lagi saya memperoleh banyak ilmu dari aktor Adlin Aman Ramli dan Afdlin Shauki sendiri," kata Zizan.

Selain Baik Punya Ahlong, Zizan turut mempersiapkan diri untuk memasuki set penggambaran filem berjudul Juang.

Instagram: @zizanrazak869