Irene Red Velvet akhirnya tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak yang pernah disakitinya selepas kecoh mengatakan dirinya telah bertindak kasar dan mengamuk kepada seorang penata gaya.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya semalam, Irene mengaku telah bersikap kasar terhadap penata gaya tersebut.

"Saya Irene, dengan rendah hati ini meminta maaf kepada penata gaya yang telah saya sakiti melalui kata kata dan tindakan bodoh saya.

"Saya menyesal dengan apa yang telah berlaku dan bukan sahaja terhadap penata gaya ini seorang, tetapi kepada semua yang bekerja dengan saya, dan telah saya lukakan," kata Irene dalam kenyataan tersebut.

Tak hanya Irene, pihak agensinya, SM Entertainment juga memberi pencerahan terhadap insiden yang berlaku. Pihak agensi juga meminta maaf terhadap perbuatan kasar yang telah Irene lakukan.

"Irene sebenarnya sudah bertemu dengan penata gaya itu secara peribadi untuk meminta maaf.

"Dari pihak agensi, kami meminta maaf kerana sikap Irene yang tak dewasa," kata kenyataan yang dikeluarkan.

Kekecohan ini bermula apabila seorang penata gaya, Kang Kook-hwa yang juga merupakan seorang editor foto senior meluahkan kekesalannya terhadap Irene.

Dia yang telah bekerja selama 15 tahun dalam industri hiburan Korea Selatan mendakwa Irene telah bersikap kasar dan mengamuk kepadanya saat mereka bekerja.

"Saya berada seperti dalam neraka selama 20 minit saat berdepan dengannya di sebuah event. Dia bukan sahaja melontarkan kata kata kesat, tetapi juga mengacukan telefon bimbitkan ke muka saya," katanya seperti dilaporkan AllKPop.

Biarpun tidak menuliskan identiti si pelaku, namun netizen yang 'bijaksana' telah menggali hal itu sehingga menamakan Irene sebagai penyanyi yang berkelakuan kadar tersebut.

Hal itulah yang akhirnya membuatkan Irene membuat pengakuan dirinya telah bersalah.

Malah, kerana insiden tersebut, grup Red Velvet telah membatalkan sesi bertemu peminat di Korean Culture Festival 2020 yang dijadualkan semalam.



Kredit Foto: Pinterest