Biarpun syarikat Apple Inc telah mengeluarkan beberapa model terbaru iPhone, namun pastinya ramai pengguna seluruh dunia masih menggunakan iPhone 7.

Namun, baru-baru ini muncul satu laporan dikeluarkan pihak Chicago Tribune yang mendakwa kadar radiasi dikeluarkan model tersebut antara tertinggi pernah dicatatkan.

Berdasarkan 11 jenis telefon pintar yang diuji, pihak Chicago Tribune mendapati iPhone 7 memancarkan kadar radiasi frekuensi radio (RF) lebih dari tahap dibenarkan.

Lebih membimbangkan lagi, kadar radiasi yang diuji dikatakan dua kali ganda daripada apa yang dikeluarkan Federal Communications Commission (FCC) Amerika Syarikat.

Selain iPhone 7, Samsung Galaxy S9 dan S8 antara yang turut tersenarai.

Susulan daripada kes berkenaan, Apple telah pun mengeluarkan satu kenyataan.

Menurut mereka, Chicago Tribune didakwa tidak mengikut 'standard' buat iPhone.

"Kesemua model iPhone 7 telah disahkan selamat oleh FCC di setiap negara yang dipasarkan.

"Selepas semakan yang penuh teliti semua model iPhone yang diuji dalam laporan (Tribune), kami mengesahkan bahawa kami mematuhi dan memenuhi semua peraturan," katanya.

Apapun kenyataan dikeluarkan kedua-dua pihak ini, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati menggunakan telefon pintar.