Laman Utama
“Menggigil, Pucat, Tekak Bengkak…”- Hasif Upin Kongsi Pengalaman Rakam Lagu Dengan Ziana Zain
Pendatang baharu, Hasif Upin akui teruja dan bangga apabila dapat bergandingan dengan penyanyi idolanya Ziana Zain menerusi duet terbaharunya, Waktu.
Kata Hasif, dia akui gementar sewaktu rakaman lagu berkenaan sehingga tekaknya mengalami bengkak dan terpaksa dirujuk ke hospital.
"Sememangnya, bila dapat tahu Ziana terima tawaran ini, saya sangat teruja. Ini kerana saya amat meminatinya.
"Bayangkan saya sudah melihat Ziana menyanyi sejak kecil lagi. Sebagai persediaan, saya memasuki kelas vokal dan setiap kali pergi karaoke, saya pilih menyanyikan lagu bernada tinggi.
“Ketika sesi rakaman, saya menggigil, pucat semasa rakaman. Tekak saya bengkak sehingga saya perlu ke hospital dan berehat,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Hasif juga mendedahkan dia agak tertekan menerima komen daripada orang ramai yang membandingkan kredibilitinya sebagai pendatang baru untuk berkolaborasi dengan penyanyi berpenglaman seperti Ziana.
Namun dia cuba menenangkan dirinya dengan perbanyakkan berdoa dan sembahyang.
“Tak dinafikan saya sedikit tertekan dengan jangkaan orang. Takut, tapi saya serahkan kepada takdir.
"Memang saya ada terima komen negatif dalam media sosial. Tak dinafikan, saya 'sentap' juga bila membacanya, tetapi perasaan itu sekejap sahaja.
“Saya banyakkan solat kerana ia banyak menenangkan hati saya dalam membuat persediaan,” kongsinya lagi.
Nafi menumpang populariti Ziana, Hasif yang juga seorang pempengaruh media sosial mendedahkan dia mempunyai pengikut yang ramai di media sosial terutama TikTok iaitu sehingga 3 juta.
"Nak kata saya menumpang populariti Ziana tidak juga kerana saya juga sudah ada pengikut sendiri sebelum ke bidang nyanyian.
"Lagipun saya rasa, pendengar sekarang sudah bijak dan tahu menilai," ujar Hasif.
Waktu merupakan lagu syarikat rakaman Armani Entertainment Group yang mendapat sentuhan serta ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Joh Jeeves.
Must-Watch Video